Doktor Jual Barang

‘Doktor Jual Barang’ – Tindakan Akan Diambil Jika Orang Ramai Buat Aduan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Orang ramai dinasihatkan agar memberikan kerjasama sekiranya mendapati ada syarikat atau pemilik produk kesihatan yang melakukan kesalahan ketika membuat iklan terutamanya di media sosial.

Ini termasuklah amalan menggunakan mana-mana doktor dalam promosi atau pengiklanan produk kosmetik dan makanan tambahan keluaran syarikat mereka.

Dalam satu laporan di portal Sinar Harian, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dipetik berkata, perbuatan tersebut adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (PKDK) 1984.

Doktor Jual Barang

Pencerahan tersebut dibuat ketika menjawab soalan dari Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) mengenai tindakan yang diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap syarikat produk kosmetik dan makanan tambahan yang mengiklankan produk mereka di stesen televisyen secara berlebihan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, dalam Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, mereka (syarikat kosmetik atau produk makanan tambahan) tidak boleh menggunakan profesional doktor sebagai contoh untuk hadir dalam iklan bagi mempromosikan atau mengesyorkan produk itu.

“Tindakan yang seolah-olah membuat iklan adalah salah (dilakukan oleh doktor) dan kalau berlaku kita akan siasat dan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” tambahnya lagi.

Amalan doktor yang tidak beretika tersebut seterusnya akan dimaklumkan kepada badan profesional yang menyelia amalan seseorang doktor untuk tindakan selanjutnya.

BACA: Ciri-Ciri ‘Produk Sampah’ Dan Teknik Promosi ‘Overclaim’ Yang Semakin Melampau Hari Ini

Sumber: Sinar Harian