
Doktor Bongkar Produk Jus Suplemen ‘Overclaim’ Punca Ramai Pesakit Kronik Menderita
Masyarakat digesa supaya sentiasa berwaspada dengan kebanjiran produk kesihatan ‘overclaim’ yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
Walaupun sudah beberapa kali diingatkan oleh para doktor dan golongan profesional, amat sedih apabila di kalangan masyarakat kita, masih ada lagi yang mempercayai produk ‘ajaib’ seperti ini.
Dr Ahmad Zakimi Abdullah atau Dr Zek telah membuat pembongkaran berikut di Facebooknya mengenai bahaya beberapa jenis produk jus suplemen yang kini digunakan secara meluas oleh pesakit kronik sehingga boleh membawa maut!
Ikuti kisah-kisah benar yang dikongsikan oleh beliau berikut yang menceritakan kepada orang ramai betapa bahayanya produk ‘overclaim’ seperti ini berdasarkan pengalamannya sendiri yang bertugas sebagai seorang Pakar Perubatan Kecemasan di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Cerita sebulan pastinya ramai pesakit yang aku dapat. Tak kurang juga pesakit-pesakit kronik yang mengambil produk-produk suplemen kononnya dapat merawat 1001 penyakit. Tak habis-habis overclaim.
KES 1: pesakit kencing manis berumur dalam lingkungan 50an. Ambil produk suplemen Jus sunnah XXX, kononnya dapat merawat kencing manis. Segala ubatan hospital ditinggalkan.
Datang dengan glukometer bacaan gula 23, metabolic acidosis dan urine ketone 4+. Pesakit mengalami DKA (Diabetic ketone acidosis) perlu bantuan pernafasan akibat dari metabolic acidosis yang serius dan dimasukan ke ICU.
“Mak ada ambik apa-apa supplement?” Tanyaku pada si anak.
“Ada. Jus XXX. Dah tak makan ubat sebab kencing manis dah sembuh makan jus tu.”
Apa yang tak kena di sini?
KES 2: pesakit lelaki darah tinggi, berumur 60an. Datang tak sedarkan diri. Tekanan darah dengan bacaan 212/130.
Imbasan CT otak menunjukan ada pendarahan otak. Maka pesakit ini mengalami hemorrhagic stroke (strok berdarah).
“Ayah ada ambil apa-apa supplemen?” Tanyaku pada anak pesakit.
“Ada. Supplemen jus XXX. Ayah dah tak perlu makan ubat hospital, doktor. Darah tinggi dah sembuh dengan jus XXX.”
Apa yang tak kena di sini?
KES 3: Pesakit kencing manis wanita berumur dalam lingkungan 30an. Datang kerana sesak nafas dan kaki sembab. Pernafasan laju kerana paru-paru beliau sudah berair.
Bacaan creatinine 8 bulan lepas 245. Bacaan baru creatinine 867 dan urea 28 beserta metabolic acidosis.
“Puan ada ambik supplemen?” Tanyaku.
“Ada. Supplemen Jus XXX dan vitamin untuk ubatkan kencing manis dan buah pinggang. Saya dah tak ambik insulin.”
Itu dia. Kes ini di mana salahnya?
KES 4: Pesakit wanita berumur 20an. Pesakit adalah obes dengan berat badan lebih kurang 120kg. Datang kerana pengsan beberapa kali dan rasa berdebar-debar.
Akhirnya pesakit tak sedarkan diri di zon merah akibat mengalami degupan jantung kencang dan tak sekata. Cardiac monitor menunjukan VT (ventricular tachycardia). Resusitasi dan CPR dilakukan keatas pesakit.
Innalillah, pesakit tak dapat diselamatkan.
“Encik, isteri ada ambil apa-apa ubat atau supplemen?” Tanyaku pada si suami yang dalam kepiluan.
“Ada, doktor. Dia ambil ubat kurus F****y F**s perasa lemon.”
Setelah aku dan tim menghantar sampel supplemen tersebut ternyata mengandungi bahan aktif terlarang Sibutramine. That’s it.
Dalam satu bulan saja aku sendiri menerima kes-kes begini. Semua jenis produk suplemen ‘so call’ produk kesihatan tersebut aku ambil gambar secara langsung atau tak langsung (pencarian Google menerusi nama produk) dari pesakit/waris sendiri.
Aku sendiri pantau trend pengambilan suplemen di kalangan pesakit-pesakit kronik amat membimbangkan. Serius!
Apa nak jadi dengan masyarakat kita.
Kepada founder produk suplemen overclaim, kami pantau kalian. Tindakan lanjut akan diambil.
Dr Zek
BACA: AWAS! Produk ‘Overclaim’ – Dapat Kelulusan Dari KKM Bukan Jaminan Ia Berkesan Dan Selamat
Sumber: Ahmad Zakimi Abdullah
Trending now



