
Doktor Ajar Cara Nak Lepaskan Kemaluan Kanak-Kanak Yang Tersepit Pada Zip Seluar
Minggu lalu, sepasukan anggota bomba terpaksa dikerahkan untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak malang di Semporna, Sabah.
Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun tersebut didapati telah tersekat kemaluannya pada zip seluar selepas kembali dari tandas.
Dengan menggunakan peralatan khas, pihak bomba berjaya menamatkan operasi tersebut tanpa sebarang kejadian yang lebih buruk berlaku.
BACA: Proses Penyembuhan Luka Sunat Yang Ibu Bapa Perlu Ambil Perhatian
Walaupun berbeza bentuk dan saiz, rasanya setiap lelaki memang hampir pasti pernah melalui pengalaman yang sama, betul tak?
Memang agak keterlaluan untuk menyamakan kesakitan dan azab yang dirasai dengan sakit wanita ketika hendak bersalin, namun hal ini perlu dianggap lebih serius kerana ianya juga sering dihadapi oleh golongan remaja dan dewasa dan boleh membahayakan kesihatan.
Satu contoh visual yang lebih jelas dapat dilihat dalam satu babak filem There’s Something About Mary (1998) yang menyaksikan watak lakonan Ben Stiller cedera parah sehingga terpaksa diusung menaiki ambulans.
Seorang pakar perubatan kecemasan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ahmad Zakimi Abdullah atau panggilan ‘glamer’nya Dr Zek, telah berkongsi panduan berikut di Facebooknya bagi membantu golongan guru-guru dan ibu bapa menghadapi situasi yang sama pada masa hadapan.
“Doktor! Doktor! Tolong murid saya doktor!” Jeritan seorang guru bergegas masuk ke Jabatan Kecemasan.
“Nape ni cikgu?” Tanyaku.
“Tersepit ni! Tersepit!” Cikgu tersebut kelihatan panik.
“Apa yang tersepit ni cikgu? Bertenang… bertenang,” ujarku sambil menenangkan cikgu.
“Bebird… bebird anak murid saya ni tersepit kat zip seluar, doktor.”
“Ohhh. Takpe cikgu. Nanti saya usahakan. Mana mak ayah dia?”
“Ayah dia on the way ke sini, doktor”
Kelihatan murid darjah 1 yang dibawa menangis teresak-esak. Sakit sangat barangkali. Kami tau macam mana sakitnya tu. Perempuan apa tau. Ngilu tau.
Begitulah. Banyak juga kes-kes kemaluan khususnya kanak-kanak lelaki tersepit atau tersangkut zip seluar. Biasa kanak-kanak pra-sekolah sehingga darjah 3 ada saja. Dalam tempoh ini mereka belum berkhatan.
Senang tersepit adalah bahagian kulit hujung zakar atau kita panggil ‘preputial skin’. Risiko tersepit pada yang belum khatan berbanding yang sudah berkhatan.
Aku terangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan jika zakar anak-anak tersepit zip seluar;
- Ibubapa atau guru jangan panik. Tenangkan mangsa.
- Jangan gunting atau tanggalkan seluar. Minta pertolongan atau bawa ke klinik atau hospital yang berdekatan jika tak pasti atau tak mampu lepaskan zakar yang tersepit.
- Jika mahu cuba, kalian boleh terus baca kaedah atau teknik di bawah.
Ada beberapa kaedah atau teknik untuk lepaskan zakar tersepit zip jika kalian yakin untuk lakukan. Kalian boleh rujuk gambar kedua untuk tahu anatomi zip.
KAEDAH LEPASKAN SECARA MANUAL
- Sapukan minyak zaitun atau mineral dengan kadar yang banyak dibahagian kulit zakar dan zip. Biarkan selama 10 minit.
- Cuba buka zip perlahan-lahan.
- Jangan cuba membuka zip seluar dengan cara memaksa yang boleh mengakibatkan avulsi atau luka pada kulit.
- Jika tak berjaya mencuba sila bawa ke Jabatan Kecemasan dengan kadar segera.
KAEDAH PEMOTONGAN ‘MEDIAN BAR’
Jika kulit tersepit di antara ‘slider’ dan gigi zip (rujuk gambar ketiga).
- Potong ‘median bar’ zip dengan pemotong wayar jenis heavy-duty.
- Plat depan dan belakang zip akan terpisah dan kulit yang terperangkap juga akan terlepas.
Jika kulit zakar tersepit di antara dua gigi zip (rujuk gambar keempat).
- Potong ‘median bar’ pada ‘slider’ zip.
- Tarik dua-dua baris gigi secara manual untuk melepaskan kulit yang terperangkap.
KAEDAH MEMOTONG KAIN SEKELILING GIGI ZIP (rujuk gambar kelima)
Kaedah ini boleh dilakukan jika kulit terperangkap di antara dua gigi zip dan jika tiada pemotong wayar.
- Gunting kain bahagian memegang zip pada seluar (garis putus-putus panjang seperti dalam gambar).
- Potong kain di antara gigi yang memerangkap kulit dengan menggunakan gunting kecil (garisan putus-putus kecil seperti dalam gambar).
- Pisahkan gigi dan bebaskan kulit yang terperangkap.
Di hospital, biasanya kami guna ubat bius (kebas) jenis sapuan dan ada juga bius secara suntikan sebelum prosedur dilakukan.
Jika bahagian kulit zakar tercedera barulah kami akan pertimbangkan untuk khatankan.
Secara dasarnya lebih baik kita pakaikan seluar dalam untuk anak-anak bagi mengelakkan ‘bebird’ tersepit.
Burung adik tersepit, insya-Allah Dr Zek bebaskan ya.
Dr Zek
Sumber & kredit foto: Facebook Ahmad Zakimi Abdullah, TheStar