
Dituduh ‘Senyap Tak Terkutik’ Ketika Rakyat Susah, Ini Respon Zakat Selangor
Pasti ramai dalam kegembiraan ketika ini apabila telah mendapat wang Pengeluaran Khas KWSP sebanyak RM10,000. Namun, jangan dilupa pencarum juga diwajibkan membayar zakat seperti yang dimaklumkan menerusi laman Facebook Zakat Pulau Pinang.
Jelasnya, wang caruman KWSP yang dikeluarkan oleh pencarum adalah dikategorikan sebagai al-maal al-mustafad.
“Ini bermaksud; apa-apa pendapatan atau harta yang dimiliki dengan cara upah, ganjaran, pemberian, pindahan dan lain-lain pendapatan yang bukan berpunca daripada pulangan simpanan, pelaburan atau aktiviti jual beli.
“Mengikut kiraan, jumlah wang KWSP yang dikeluarkan didarab dengan 2.5 peratus, sebagai contoh RM10,000 didarab 2.5 peratus adalah RM250.
“Maka jumlah yang perlu dikeluarkan zakat bagi pencarum yang mendapat RM10,000 adalah sebanyak RM250,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, terdapat tiga situasi bayaran zakat bagi Pengeluaran Khas KWSP iaitu situasi pertama adalah serta merta, iaitu;
1. Situasi ini diwajibkan zakat serta merta sekiranya pendapatan tahunan seseorang pencarum KWSP itu sudah melebihi nisab tahun pertama.
2. Situasi kedua adalah cukup Haul yang bermaksud seseorang itu perlu menunggu sehingga akhir tahun (haul) kerana yakin pendapatan tahunan mencapai nisab setelah wang pengeluaran KWSP ini digabungkan.
3. Tidak wajib zakat kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan dan pengeluaran bertujuan memenuhi keperluan asasi diri dan keluarga.
Ini bermaksud, pembayaran zakat harta dituntut bagi individu yang membuat pengeluaran secara suka-suka tanpa ada bebanan dan masalah kewangan.
Pembayaran zakat tidak wajib bagi individu yang membuat pengeluaran wang tersebut atas keperluan sumber pendapatan yang mendesak.
Walau bagaimanapun, ada segelintir netizen yang tidak berpuas hati dengan pengumuman itu dengan mengaitkan pusat zakat hanya muncul ketika pembayaran zakat diwajibkan.
Mereka menuduh ketika rakyat ditimpa kesusahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) dan PKP 2.0, pusat zakat ‘senyap tak terkutik’ sehingga rakyat terpaksa membantu sesama sendiri.
Namun, tuduhan pengguna media sosial itu menerima kecaman orang ramai yang meminta perlu menyelidik dahulu sebelum membuat sebarang dakwaan.
“Kalau ikut page Zakat Selangor atau Baitulmal KL, memang ada mereka buat hantaran gambar. Ramai asnaf dapat pertolongan berpuluh ribu ringgit.”
“Sendiri kena caknalah pasal zakat. Follow page mereka. Tiap-tiap tahun ada bagi laporan tahunan. Ada audit. Zakat bukan saja bagi bantuan, tapi ada bantuan lain seperti pendidikan, sewa rumah.
Dalam pada itu, Zakat Selangor turut memberi maklum balas mengenai tuduhan terbabit yang sedang kecoh di laman Twitter.
“Lepas ini bolelah pakat share media sosial kami. Search saja ‘Zakat Selangor’ di FB, Instagram, Twitter, Tiktok. LinkedIn pun kami ada,” jawabnya.
Lepas ni boleh la pakat share media sosial kami 😊. Search ja 'Zakat Selangor' di FB, Instagram, Twitter, Tiktok. LinkedIn pun kami ada.
Jangan di cari di Tinder or Snapchat tau, memang kami tak ada di sana. 😅 https://t.co/cChulKrLUY
— Zakat Selangor (@zakatselangor) April 25, 2022
Isu pusat zakat ‘tidak buat kerja’ sering dibangkitkan walaupun sudah berulang kali pihak zakat menjelaskan perkara tersebut.