Oki Setiana Keganasan Rumah Tangga

Dituduh Normalisasi Keganasan Rumah Tangga, Ceramah Oki Setiana Dewi Undang Kecaman Netizen

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pendakwah selebriti terkenal dari Indonesia, Oki Setiana Dewi juga cukup dikenali di Malaysia yang sentiasa tampak manis ketika menyampaikan ceramahnya.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini Oki Setiana Dewi terpalit kontroversi selepas sepotong video ceramahnya yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok disifatkan menormalisasikan keganasan rumah tangga.

Suami pukul isteri aib yang harus ditutupi?

Menerusi video yang dikongsikan itu, Oki mengatakan bahawa seseorang isteri harus taat kepada suami serta menyembunyikan aib pasangannya apabila dipukul.

Oki Setiana Keganasan Rumah Tangga
Sumber: Harapan Rakyat

Beliau menceritakan mengenai kisah sepasang suami isteri yang tinggal di Jeddah, Arab Saudi yang mana suaminya tela memukul wajah isterinya ketika berlaku pertengkaran.

Pada masa sama, orang tua si isteri menziarahi pasangan itu namun isteri tidak memberitahu hal sebenar yang berlaku.

“Ada sebuah kisah benar berlaku di Jeddah berlaku terhadap pasangan suami isteri. Suami yang marah pada si isteri lalu memukul wajahnya. Kemudian isteri pun menangis.

“Tiba-tiba pintu loceng rumah berbunyi dan si isteri membuka pintu dalam keadaan matanya sembab. Apabila pintu dibuka, muncul ibu si isteri.

“Ibu si isteri bertanya pada anaknya mengapa dia menangis; jawab anaknya; tadi dia berdoa kerana rindu pada ibu dan bapanya. Kini doanya dimakbulkan,” katanya.

Oki meneruskan cerita si suami terkejut kerana anggapan bahawa isterinya akan mengadu kekerasan yang dialami kepada ibunya meleset sama sekali. Sebaliknya, perkara itu disembunyikan daripada pengetahuan ibunya.

Pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih itu menyimpulkan kisah tersebut bahawa sudah lumrah seseorang wanita kerap menjadikan sesuatu isu seperti sebuah drama namun si isteri wajar menjaga aib suami kerana ia tingkat tertinggi akhlak seorang isteri.

Namun begitu, kenyataan beliau telah mengundang kecaman netizen dan berpendapat sebagai pendakwah dia tidak wajar membenarkan keganasan rumah tangga walau dalam apa jua bentuk sekalipun.

“Mungkin (ceramah) nak tonjolkan peranan isteri jaga aib. Tapi, nasihat saya kepada isteri di luar sana, kalau suami sudah mula naikkan tangan ke wajah, buat terus laporan polis.”

“Ok bagus mesej dia cakap suami tu terkenang kebaikan isteri dia. Tapi mesej tu nampak sangat berat sebelah “isteri kena jaga aib suami.”

“Dalam kursus kahwin harap ada cerita tentang aib yang boleh diceritakan dan aib yang tak boleh diceritakan. Islam tak kejam.”

Susulan video kontroversi itu, Oki tampil membuat permohonan maaf atas salah faham yang berlaku.

Ujarnya, ceramah tersebut sekitar dua ke tiga tahun lalu dan menegaskan bahawa dirinya menolak keganasan rumah tangga.

Oki Setiana Keganasan Rumah Tangga
Sumber: Instagram