
Disney Tangguh Tayangan Thor Bukan Sebab Isu LGBT, Lightyear Atau Mat Kilau. Ini Mungkin Puncanya Yang Sebenar
Sebelum ini, filem Thor: Love and Thunder yang sepatutnya ditayangkan di Malaysia serentak dengan Amerika Syarikat pada 7 Julai telah ditangguhkan ke 21 Julai 2022.
The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn Bhd tidak pula memberikan apa-apa penjelasan mengenai penangguhan tayangan filem yang dibintangi oleh Chris Hemsworth, Natalie Portman, Christian Bale, Tessa Thompson dan Russell Crowe tersebut.
Semalam, pawagam-pawagam terkemuka di Malaysia telah membuat pengumuman mengejut di media sosial masing-masing mengenai tarikh 21 Julai untuk tayangan Thor: Love and Thunder telah ditunda sekali lagi sehingga diberitahu kelak.
Penangguhan kali kedua tayangan filem ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peminat filem Marvel Cinematic Universe (MCU) di Malaysia yang merasakan kemungkinan besar ianya akan diharamkan terus untuk tayangannya di sini.
Netizen turut memberikan pelbagai pendapat, spekulasi dan teori masing-masing.
Ada yang berpendapat penangguhan ini disebabkan oleh hasil penangan ‘box office’ Mat Kilau yang berjaya ‘memukul’ Thor sehingga tidak mampu bersaing untuk mengisi slot waktu tayangan di pawagam.
Turut timbul teori mengenai Disney yang tidak berpuas hati dengan Malaysia yang mengharamkan filem Lightyear sebelum ini yang memuatkan isu LGBT.
BACA: Disney Melampau! LPF Tidak Akan Berkompromi – Ini Sebenarnya Punca Lightyear Diharamkan
Persoalan demi persoalan bermain di fikiran rakyat Malaysia.
Mereka yang telah menonton treler rasmi Thor: Love and Thunder pasti akan terlihat paparan punggung Thor dalam satu adegan bersama Zeus. Mungkinkah juga sebab itu tayangan filem ini ditangguhkan?
Atau juga disebabkan oleh watak Valkyrie yang sebelum ini secara terang-terangan telah didedahkan sebagai seorang biseksual?
Tiada siapa yang tahu punca sebenar penangguhan filem ini.
Tetapi, menurut satu hantaran di Facebook yang dikongsikan di World Of Buzz, seorang lelaki yang telah menonton filem itu di Singapura berkata, penjahat filem itu, Gorr The God Butcher mungkin menjadi sebab utama mengapa filem itu ditangguhkan tayangannya di Malaysia.
“Dari namanya, latar belakangnya hingga dialognya, semuanya mengandungi unsur penghinaan terhadap agama dan tuhan,” jelasnya.
Dia juga berkata bahawa Gorr bukan sahaja menafikan kewujudan tuhan tetapi dia turut menolak kepercayaan bahawa dewa-dewa juga tidak seharusnya wujud.
Gorr merupakan makhluk asing dan pembunuh kejam yang hanya menyasarkan dewa-dewa sebagai mangsanya. Motivasinya didorong oleh doanya yang tidak dikabulkan yang menyebabkannya percaya bahawa semua tuhan tidak layak untuk disembah.
Watak Gorr dilakonkan oleh Christian Bale yang sebelum ini popular dengan watak Batman dalam trilogi Dark Knight arahan Christopher Nolan.
Menurutnya lagi, imej menjolok mata dan unsur LGBT adalah sangat terpencil dan plot filem ini sedikit pun tidak akan terjejas jika babak tersebut disunting keluar.
Walau bagaimanapun, unsur sensitif yang menampilkan antagonis pembunuh tuhan mungkin agak melampau dan adalah mustahil untuk membuat sebarang suntingan tanpa mengganggu jalan cerita utama.
Setakat ini masih belum ada apa-apa pengumuman rasmi dari pihak Disney mahupun FINAS berhubung isu tarikh tayangan Thor: Love and Thunder.