Lightyear

Disney Melampau! LPF Tidak Akan Berkompromi – Ini Sebenarnya Punca Lightyear Diharamkan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

“To infinity and beyond!” – Buzz Lightyear

Mereka yang membesar dalam era 90-an pasti amat mengenali watak animasi Buzz Lightyear yang mula diperkenalkan dalam filem Toy Story (1995) menerusi syarikat milik Steve Jobs, Pixar Animation Studios.

Dengan hanya berbajet AS$30 juta, pengembaraan Buzz Lightyear dan rakan baiknya, Woody dalam filem animasi komputer pertama di dunia tersebut turut mengukir sejarah apabila mencatat kutipan hampir AS$400 juta di seluruh dunia.

Pengambilalihan sepenuhnya Pixar oleh The Walt Disney Company pada 2006 menyaksikan siri Toy Story terus mencatat kejayaan gemilang apabila Toy Story 3 (2010) membuat kutipan lebih AS$1 bilion dan memenangi Anugerah Academy sebagai Filem Animasi Terbaik serta dianggap sebagai antara trilogi filem terbaik sepanjang zaman.

Meskipun Toy Story 4 (2019) kemudiannya turut menggondol anugerah Oscar serta mencatat kutipan berbilion dolar, tindakan Disney kali ini dilihat seolah-olah hanya menjadikan jenama ‘Toy Story’ sebagai cash grab semata-mata.

Keanu Reeves yang turut menyumbangkan suaranya kali ini juga didapati tidak berupaya untuk menyelamatkan Toy Story 4 yang dianggap ‘lemah’ dan hanya mengitar semula formula filem-filem sebelumnya.

Seolah-olah sengaja ingin ‘membunuh’ memori kanak-kanak yang membesar dengan Toy Story, Disney juga sudah mula berani apabila secara diam-diam dan tersembunyi sempat menyelitkan babak pendek yang menayangkan watak pasangan songsang dalam filem tersebut.

Filem ini diluluskan untuk tayangan di Malaysia tanpa sebarang masalah dan masih lagi diterima baik oleh masyarakat umum di seluruh dunia.

Namun, filem spin-off pertama Toy Story yang berjudul Lightyear (2022) kali ini memang betul-betul dah melampau!

Cash grab Disney kali ini bukan sahaja tidak menggunakan lagi khidmat cemerlang Tim Allen sebagai suara Buzz Lightyear, malah dengan terang-terang memaparkan pasangan sesama jantina berciuman untuk tatapan umum khususnya kanak-kanak.

Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dengan lantangnya menyeru kerajaan Malaysia mengharamkan Lightyear seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.

Menurutnya, langkah ini perlu bagi memberi isyarat kepada pihak-pihak seperti pengeluar filem, pengusaha pawagam dan masyarakat tentang nilai-nilai kekeluargaan yang tidak boleh dikompromi dengan agenda lesbian, gay, biseksual, transgender, pelik, interseks dan sekutu (LGBTQIA) yang kini giat disebarkan kepada generasi muda di Malaysia melalui kartun dan filem animasi.

Lembaga Penapis Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan media bertarikh 16 Jun 2022 menjelaskan bahawa Lightyear sebenarnya telah diberikan keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) berserta klasifikasi P13 pada 30 Mei 2022.

Syaratnya, beberapa pengubahan (potongan) bagi adegan dan disenyapkan (mute) dialog yang didapati mengandungi elemen-elemen yang mempromosi gaya hidup LGBTQIA perlu dibuat terlebih dahulu untuk tayangan di Malaysia.

The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn. Bhd. walau bagaimanapun tidak bersetuju dan masih tidak berganjak dengan pendirian mereka dan akhirnya LPF terpaksa membuat keputusan tidak akan berkompromi dengan desakan melampau tersebut sehingga akhirnya membawa kepada pengharaman tayangan Lightyear.

Lebih 14 negara di dunia kini mengharamkan tayangan Lightyear dan tinjauan mendapati rata-rata ulasan mengenai filem ini juga amat kurang memuaskan serta kutipannya juga tidak lagi gah seperti filem-filem Toy Story.

Lightyear

Lightyear

BACA: Ms Marvel: ‘Superhero’ Muslim Pertama Terima Reaksi Positif Masyarakat Islam Amerika Syarikat