
Disney+ Hotstar Bakal Lancar Di Malaysia, Pelan Langganan Bermula Dari RM54.90
Disney+ Hotstar bakal ‘mendarat’ di Malaysia tidak lama lagi!
Pengumuman terkini daripada The Walt Disney, laman penstriman video Disney+ yang diurus oleh Hotstar seperti di India dan Indonesia boleh dilanggan pengguna Malaysia bermula 1 Jun 2021.
Penonton Malaysia kini dapat menonton pelbagai rancangan tanpa batasan dari Disney, Marvel, Star Wars, National Geographic dan pelbagai kandungan menarik lagi untuk semua peringkat umur.
BACA: Disney Bakal Tamatkan 18 Saluran TV Di Asia Tenggara
Mengenai pelan langganan, Disney+ Hotstar menawarkan pakej bermula RM54.90 untuk langganan selama tiga bulan. Boleh dilanggan melalui laman web Disney+ Hotstar dan aplikasi Disney+ Hotstar di peranti Android atau iOS bermula 1 Jun 2021.
Berita baik untuk pelanggan setia Astro, Disney+ juga turut berada dalam pakej khas bersama Astro. Bagi pelanggan pakej Astro Movies Pack, mereka hanya perlu menambah RM5 sahaja untuk menikmati kandungan yang sama.
Bagi mereka yang tidak melanggan pakej Astro Movie Pack, boleh menikmati kandungan Disney+ Hotstar menerusi tawaran lain.
Difahamkan, Astro sedang dalam usaha untuk menawarkan kandungan Disney+ ke dekoder TV Ultra Box dan Ulti Box menjelang penghujung 2021.
Rancangan apa yang anda boleh tonton dalam Disney+ Hotstar?
Pelanggan dapat menonton siri Disney+ Originals seperti The Mandalorian, WandaVision, The Falcon and The Winter Soldier dan banyak lagi. Boleh menonton semula filem Disney kegemaran anda seperti Avengers, The Lion King, Frozen dan Aladdin.
Turut ditawarkan siri televisyen yang bukan dihasilkan oleh Disney seperti The Walking Dead, Nomadland, Grey’s Anatomy dan pelbagai lagi.
Bukan itu sahaja, filem tempatan juga turut tersedia dalam kandungan Disney+ Hotstar yang bakal menjadi penyiar eksklusif untuk beberapa filem seperti J2: J Retribusi, Zombitopia dan Ejen Ali The Movie 2.
Penonton juga masih boleh menonton filem dan drama tempatan popular seperti Upin & Ipin, KL Special Force, J Revolusi, Munafik dan banyak lagi.
Disney+ Hotstar boleh distrim menerusi peranti mudah alih dan TV. Satu akaun berdaftar boleh menyokong dua penstriman secara serentak.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web Disney+ Hotstar Malaysia.
Trending now



