
Diskaun Tol Sehingga 30% Jika Cadangan Pembelian Lebuh Raya Berjaya – Menteri Kewangan
Pengguna lebuh raya berkemungkinan besar akan menikmati kadar pengurangan tol sekiranya cadangan pembelian empat lebuh raya iaitu Kesas, LDP, Sprint dan Smart berjaya dilaksanakan.
Berita yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu adalah tertakluk kepada kelulusan Kabinet, selain daripada kos pengambilalihan yang akan dibiayai sepenuhnya oleh pengeluaran bon (bond issuance) dan kutipan kesesakan.
Beliau memberitahu bahawa ianya adalah lebih baik daripada membayar pampasan RM18 bilion kepada pemegang konsesi untuk berhenti mengenakan bayaran tol. Akibat kekangan kewangan yang berlaku daripada isu-isu kerajaan terdahulu, Kerajaan Persekutuan tidak mampu membayar jumlah tersebut.
Oleh itu, 21 Jun lalu, Kerajaan Persekutuan telah membuat tawaran bersyarat untuk memperoleh empat lebuh raya sementara menunggu kelulusan Kabinet setelah melakukan rundingan dengan perunding perbankan profesional.
Guan Eng turut memberitahu pengguna lebuh raya akan mendapat keuntungan dengan membayar biaya kesesakan dan menikmati diskaun sehingga 30% untuk tempoh masa di luar waktu puncak dan perjalanan percuma ketika waktu puncak.
Pada 22 Jun lalu, beliau telah menggariskan manfaat pemerolehan termasuk pampasan sekurangnya RM5.3 bilion yang akan diberi kerajaan dan RM180 juta dalam simpanan tol tahunan bagi pengguna lebuh raya.
Pampasan untuk lebuh raya Kesas adalah sebanyak RM1.3 bilion, LDP RM2.4 bilion, Sprint RM1.98 bilion dan Smart sebanyak RM369 milion. Manakala tempoh konsesi masing-masing akan berakhir pada 2028, 2030, 2034 dan 2042.
Sumber: The Star Online
Trending now



