Mo Salah Individu Berpengaruh Persepsi Islam

Disenarai 50 Muslim Berpengaruh Dunia, Mo Salah Dilihat Pengubah Persepsi Negatif Agama Islam

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mo Salah Dilihat Sebagai Figura Muslim Yang Membawa Persepsi Islam Ke Arah Lebih Baik.

Pemain bola sepak Mesir dan Liverpool, Mohamed Salah atau lebih dikenali dengan panggilan Mo Salah berada di kedudukan ke-41 dalam kalangan 50 individu Muslim paling berpengaruh di dunia.

Senarai berkenaan yang dikeluarkan The Royal Islamic Strategic Studies Centre yang berpangkalan di Amman, Jordan melalui penerbitan Senarai 500 Muslim Paling Berpengaruh Dunia 2022.

Satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Standford University mendedahkan bahawa sejak kehadiran Mo Salah dalam arena bola sepak terutama dalam pasukan Liverpool, percanggahan antara norma masyarakat British dan Islam semakin berkurangan.

Ia menandakan persepsi terhadap Islam dalam kalangan warga Liverpool semakin baik, seperti mana yang dilaporkan ESPN menerusi laman Twitter rasminya.

Menerusi kajian tersebut, 18.9 peratus penurunan terhadap kebencian jenayah anti-Muslim di Merseyside sejak Salah menandatangani kontrak bersama Liverpool pada Jun 2017. Manakala komen-komen Islamophobia di media sosial turut menurun sehingga 50 peratus.

Antara faktornya seperti yang dikongsikan Tuan Zamir Mohyedin:

1. Media menggambarkan Mo Salah dengan nada yang positif.

Pendedahan positif Mo Salah yang berterusan oleh media menjadikan peminat Liverpool FC memandang Islam hal yang positif.

2. Sering tunjukkan identitinya sebagai seorang Muslim.

Salah sering dipaparkan dalam media sebagai pemain yang kerap melakukan sujud syukur dan berdoa ketika dalam perlawanan. Ini menandakan Salah mempamerkan dirinya sebagai seorang Muslim yang mana sedikit sebanyak telah mengubah tahap Islamofobia di sana.

Mo Salah Individu Berpengaruh Persepsi Islam
Sumber: Reuters

3. Jarang mengulas dan menyebelahi mana-mana isu politik dan sosial.

Beliau mendapat gambaran positif oleh media kerana jarang mengulas dan menyebelahi mana-mana isu politik ataupun isu keadilan sosial.

Dalam hal ini, jika mengutarakan pendapat dalam sesuatu isu akan memberikan gambaran buruk oleh sesetengah media sekali gus memberikan persepsi buruk terhadap identiti oleh sesetengah peminat.

Dalam kajian itu juga, banyak ditekankan bahawa peranan media yang mempengaruhi persepsi masyarakat.

Jika gambaran media menggambarkan sesuatu yang positif, maka persepsi yang diterima orang juga positif dan sebaliknya.