
Dipenjara Tiga Tahun Sebab Derma RM200, Lelaki Ini ‘Terpaksa’ Mengaku Bersalah
Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA, memperuntukkan langkah-langkah khas berhubungan dengan kesalahan keselamatan.
SOSMA digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, apatah lagi dunia hari ini berhadapan dengan ancaman-ancaman baru yang merentas sempadan.
Seorang bekas penjual emas dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat (15 Nov) selepas didapati bersalah menyalurkan ‘derma’ sebanyak RM200 kepada anggota militan IS rakyat Malaysia di Syria pada 2018.
Mohd Zulkiflie Shafie didakwa melakukan kesalahan tersebut dibawah Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan kerana menyalurkan RM200 melalui akaun beliau kepada anggota militan IS itu yang dipercayai Akel Zainal.
Beliau menukilkan kisahnya menjadi tahanan SOSMA yang dikongsikan di laman Facebook isterinya, Najdah Mohamed Hussain. Tanggal 30 Oktober 2018, bermulalah sejarah hitam dalam hidupnya apabila ditahan dan dipenjarakan atas tuduhan yang beliau sendiri tidak bermaksud untuk melakukannya.

“Berat untuk saya menerimanya ketika pertuduhan itu dibacakan terhadap saya pada 21 November 2018 di Mahkamah Sepang, kerana pada hakikatnya, ia hanyalah satu (ya, hanya satu) transaksi sedekah atas dasar ihsan kemanusiaan saya kepada seorang kenalan lama saya sewaktu di universiti dahulu.”
Beliau disoal siasat selama 23 hari dan diberitahu bahawa kenalannya itu telah pun diwartakan sebagai ‘pengganas’. Oleh itu, beliau dituduh ‘menyalurkan dana untuk tujuan keganasan’ walaupun itu bukanlah tujuan sebenarnya menyalurkan sumbangan.
Akel Zainal, bekas pemain drum kumpulan rock Ukays sekitar tahun 1990-an meninggalkan Malaysia pada 2014 untuk menyertai kumpulan pengganas IS.
Akel telah disahkan meninggal dunia bersama isteri dan dua anaknya pada Mac lalu, selepas rumah mereka di Syria terkena letupan bom semasa serangan udara pasukan gabungan pakatan yang diketuai Amerika Syarikat, di wilayah tersebut.
Memetik laporan BenarNews, pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar fakta kes, hujahan pembelaan, mitigasi dan pemberatan dari pihak pendakwaraya dan peguam bela.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Keganasan (E8) Cawangan Khas PDRM, Ayob Khan Mydin Pitchay menyatakan bahawa penyaluran dana merupakan satu kesalahan berat.
“Tidak kira berapa jumlah yang disalurkan, ia tetap satu kesalahan,” kata Ayob.
Diakhir nukilan Zulkifli, beliau berharap hukuman penjara yang dikenakan dapat menghapuskan kesalahannya di sisi undang-undang negara, dan juga dosa di sisi tuhan Yang Maha Esa serta menjadikannya orang yang lebih bersabar dan bersyukur.
“Buat sesiapa sahaja yang telah membaca surat saya ini, sila forward kepada ahli keluarga dan kawan-kawan yang terdekat. Saya percaya, lebih ramai golongan yang ‘bersimpati dan terkeliru’ akan terperangkap dengan undang-undang SOSMA sekiranya tidak diberi peringatan dan kesedaran. Mudah-mudahan usaha kecil ini dinilai sebagai amal yang baik di sisi Tuhan dan diberi ganjaran pahala, insya Allah”
Sumber: Benar News, FB Najdah Mohammed Hussain