
‘Dipecat’ Ketika PKP, Lelaki Ini Jana Pendapatan Lumayan Dengan Jualan Kek Bajet
Dipecat ketika PKP, lelaki ini jana pendapatan lumayan dengan jualan kek bajet.
Tidak dinafikan, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, ramai rakyat Malaysia terjejas sumber pendapatan mereka. Ini kerana dengan perintah berkenaan, semua diminta untuk kekal di rumah dan keluar hanya apabila ada keperluan sahaja.
‘Dipecat’ ketika PKP, hari pertama pelaksanaan perintah.
Seorang lelaki, Muhammad Afiq Mohd Paimin, 27 tahun memberitahu kontraknya dengan sebuah syarikat swasta ditamatkan lebih awal iaitu pada 18 Mac berbanding tarikh yang ditetapkan dalam perjanjian kontraknya iaitu pada 30 April ini.
Sudah dua tahun bekerja di bahagian penyelenggaraan, beliau memahami keputusan majikan dan berusaha meneruskan hidup mencari rezeki lain untuk menyara keluarganya.
BACA: Ketahui Hak Anda Sebagai Pekerja Sepanjang Musim COVID-19
Mendapat idea untuk menjalankan perniagaan berasakan kek dengan harga mampu milik dan sesuai dimakan untuk semua lapisan umur, Muhammad Afiq memberitahu beliau tidak pernah belajar secara khusus untuk membuat kek.

Namun berdasarkan resipi dan bantuan adiknya seorang penuntut yang tidak dapat meneruskan pembelajaran di kampus akibat pelaksaan PKP, beliau berjaya menjana pendapatan lebih banyak daripada pendapatannya semasa bertugas sebagai penyelenggara.
Tidak menjangka akan menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai, beliau memberitahu dalam tempoh sebulan, perubahan menyeluruh berlaku dalam hidupnya.
Menjual enam jenis kek dan setiap satu jenis terjual sebanyak 20 biji, dalam tempoh sehari, beliau menghasilkan tempahan harian sebanyak 120 biji di kilang kecil milik ibunya yang digunakan bagi menghasilkan kuih tradisional seperti baulu.
Sumber: FMT