
Dinding Tepi Jalan Bukan Lokasi Sesuai Beri Penghormatan Pada Pemimpin Negara – Kartunis Lat
Kartunis terkenal tanah air, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat berpendapat dinding tepi jalan bukanlah lokasi yang sesuai untuk melahirkan penghormatan kepada pemimpin negara.
BACA: Mural Wajah Agong, Barisan Wira Negara Oleh Pemuda Ini Dapat Perhatian House Of Pahang
Dalam satu temu bual bersama Berita Harian, beliau menyatakan lukisan mural tersebut perlulah dilaksanakan di tempat yang tidak berisiko menjadi mangsa vandalisme seperti dinding tepi jalan sebaliknya di galeri lukisan atau tempat lebih tinggi seperti papan iklan.

Tambahnya lagi, kebenaran melakukan seni grafiti di tepat awam perlu diteliti terutamanya daripada segi lokasi sesuai untuk tema-tema tertentu.
“Buatlah usaha begini di tempat yang sesuai iaitu di galeri lukisan atau sekiranya ingin dipaparkan di tempat awam, letaklah di tempat tinggi seperti papan iklan.
Jika pihak berkuasa tempatan memberi kebenaran untuk seni grafiti, perlu disediakan tempat untuk tema tertentu.
Bagaimanapun lukisan di atas kanvas dan pameran di galeri seni lukis adalah lebih baik.”
Isnin lalu, lukisan mural yang memaparkan wajah hero-hero Malaysia di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam menjadi mangsa vandalisme pihak tidak bertanggungjawab.
Lukisan mural yang dihasilkan oleh tiga pelukis tempatan diconteng dengan cat merah berserta dengan kata-kata kesat yang tidak wajar.
BACA: Mural Tular Wajah Barisan Wira Negara Jadi Mangsa Vandalisme
Dalam perkembangan terkini, pihak polis Selangor memberitahu mereka sudah mendapat petunjuk yang dikaitkan dengan dua wanita yang disyaki dengan insiden terbabit dan yakin kes berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh masa terdekat.
Sumber: Berita Harian, Astro Awani