
Dilantik Penasihat Khas Kesihatan PM, Dr. Jemilah Pernah Jahit Luka Sendiri Selepas Terkena Tembakan Ketika Misi Kemanusian Di Iraq
Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dilantik sebagai Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menurut satu kenyataan pada Selasa.
Dr Jemilah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau sebelum ini merupakan Presiden Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dan Setiausaha Bahagian Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Dipilih sebagai pemenang ASEAN Prize 2019 iaitu anugerah berprestij rantau ASEAN bagi mengiktiraf pencapaian individu atau organisasi dalam memupuk identiti dan semangat serantau ke arah pembangunan Komuniti ASEAN menjelang 2025.
Dr Jemilah berpengalaman luas dalam bidang perubatan dan terlibat secara langsung dalam kerja-kerja kemanusiaan di peringkat nasional dan antarabangsa. Salah satu pengalaman yang dikongsikan beliau semasa misi kemanusiaan adalah ketika merawat pesakit di zon peperangan yang sangat menyentuh hati.
Kisah mencemaskan ini berlaku pada tahun 2003, semasa misi kemanusiaan di Iraq. Dr Jemilah dan pasukannya dalam perjalanan untuk menghantar bekalan perubatan ke salah sebuah hospital kanak-kanak di sana apabila mereka terperangkap dalam kejadian temban-menembak.
Dua daripada ahli pasukannya terbunuh, manakala dua orang doktor pula cedera dan Dr Jemilah ditimpa malang apabila ditembah pada bahagian pinggulnya.
“Saya telah terkena tembakan melalui seorang rakan, Dr Baba. Dia cedera teruk dan dialah yang cuba menghalang peluru tersebut dari terkena saya,” kata Dr Jemilah ketika sesi temubual bersama Sydney Morning Herald di Australia sempena Hari Kemanusian Sedunia 2017.
Peluru tersebut telah menembusi rakannya dan sebuah buku Reader’s Digest yang tebal sebelum terkena pinggulnya. Beliau kemudian terpaksa menjahit luka akibat tembakan itu sendiri dan membiarkan peluru tersebut di pinggulnya sebelum membawa Dr Baba ke meja operasi.
Dalam pada itu, Dr Jemilah menangis memikirkan adakah beliau membuat satu kesilapan besar dengan membawa pasukan MERCY Malaysia ke negara peperangan. Belum sempat bertenang dengan segala yang berlaku, beliau menerima khabar bahawa seorang wanita yang menghidapi anemia bakal melahirkan bayi.
Dengan pantasnya, Dr Jemilah menjalankan pembedahan cesarean dan seorang bayi lelaki dilahirkan dalam masa beberapa jam selepas ditembak dan kehilangan beberapa ahli pasukan MERCY.
Kerjaya Dr Jemilah dalam bidang perubatan bermula sebagai pakar obstetrik dan sakit puan. Namun, beliau mula jatuh cinta dengan aktiviti kemanusiaan selepas berbual dengan anak lelaki yang berusia lima tahun mengenai peperangan di Kosovo.
“Mama kan doktor, pergi dan buatlah sesuatu”
Sejak itu, bermulalah perjalanan hidup Dr Jemilah sebagai sukarelawan kemanusiaan.
Atas pelantikan yang diterima baru-baru ini, beliau berazam akan bekerjasama dengan semua agensi dan kementerian termasuk sektor swasta bagi memastikan Malaysia menerajui sistem penjagaan kesihatan.
Sumber: The Sydney Morning Herald, Awani