
Dikritik Netizen Asbab Tegur Fakta Ustaz, Lelaki Ini Terus Tekad Pandaikan Ummat
Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang lelaki memperbetulkan fakta tentang lohong hitam atau black hole oleh Ustaz Auni.
Walaupun fakta yang diperbetulkan adalah betul, namun netizen seperti tidak menerima penerangan beliau. Mungkin disebabkan beliau memperbetulkan kenyataan seorang ustaz.
Kali ini beliau tampil sekali lagi bagi menyatakan pendiriannya tanpa prejudis kepada sesiapa dan masih berpegang pada ajaran Islam yang sebenar. Bagi beliau, fakta yang salah harus diperbetul walaupun yang mengajar itu seorang ustaz. Mari kita ikuti ulasan beliau.
Saintis Islam ketika Zaman Pertengahan dulu merupakan sarjana terawal yang gunakan eksperimen sebagai kaedah untuk memahami kejadian/fenomena alam.
Amat berbeza dengan sarjana-sarjana purba seperti Thales, Democritus, Aristotle, Anaximenes dan lain-lain yang hanya mencerap, tetapi tidak lakukan eksperimen.
Hampir 1,500 tahun sarjana berpendapat manusia dapat melihat kerana mata kita mengeluarkan cahaya. Tetapi Ibnu Haytham (Alhazen) menyanggah perkara ini bukan sahaja melalui pencerapan, tetapi melalui eksperimen. Beliau berteori kita dapat melihat sebenarnya kerana cahaya masuk ke dalam mata manusia, bukan mata manusia keluarkan cahaya.
Al-Biruni pula lebih menarik. Buat eksperimen sahaja tidak cukup untuk mengesahkan kekuatan suatu teori saintifik. Tetapi eksperimen itu mesti mempunyai kebolehan untuk ditiru dan diulangi (reproduce/replicate). Eksperimen berulang dibuat untuk mengurangkan sebarang ralat dalam pencerapan dan bias.
Democritus percaya setiap objek mempunyai struktur asasnya yang dipanggil atom. Tetapi setakat percaya sahajalah. Saintis moden yang buktikan melalui pencerapan dan eksperimen untuk sahkan kenyataan dan idea tersebut.
Menariknya, tradisi ini diteruskan sehingga ke zaman sains moden. Pada hari ini, teori saintifik hanya dapat dihasilkan apabila telah dilalui beberapa ujian dan eksperimen. Bukan berkhayal tidak tentu hala. Sebab itu tidak sama teori saintifik dengan teori orang awam. Sudah tentulah tidak sama langsung dengan teori konspirasi.
Eksperimen itu pula berkebolehan untuk diulang semula dan ditiru. Jika kita biasa menelaah makalah saintifik, kita akan sentiasa temui kuatnya ataupun sahnya suatu eksperimen itu apabila orang lain pun boleh lakukan eksperimen yang sama dan hasilnya pun sama. Eksperimen yang tidak mampu diulang akan sentiasa diragui dan dikritik seperti Eksperimen Penjara Standford.
Sains adalah kaedah untuk memahami kejadian alam yang Tuhan cipta. Apabila disebut mengkaji, saintis akan masuk makmal, lakukan cerapan, lakukan ujian, buat simulasi, lakukan eksperimen, masuk ke hutan, mendaki gunung, menyelam lautan untuk memahami fenomena alam di sekelilingnya. Bukannya mengkaji dengan buat bacaan di blog diragui dan menonton YouTube.
Pelbagai penemuan pada hari ini seperti pembelahan nuklear, kesan fotoelektrik, proses fotosintesis, struktur atom, jujukan genom, pengenalan spesis-spesis haiwan dan tumbuhan, spektrum elekromagnet, proses penuaian tenaga dan banyak lagi adalah hasil daripada sains.
Teknologi yang kita pakai hari ini dari telefon pintar, kereta, kapal terbang, internet, permainan video, lampu, perkakas elektrik hinggalah ke GPS, bateri litium, roket, bangunan pencakar langit, semuanya hasil daripada kajian saintifik.
Jadi, tradisi kaedah saintifik yang dibawa oleh saintis-saintis Barat sekarang pun adalah tradisi yang pernah diamalkan oleh saintis Islam dulu pun. Cuma bagaimana kaedah ini dijunjung mungkin berbeza.
Sekilas tentang isu baru-baru ini, penceramah jelas memetik kajian daripada Barat untuk huraikan suatu teori. Beliau tidak gunakan pun dalil wahyu untuk sahkan dakwaannya seperti yang didakwa oleh pengikut-pengikutnya. Saya sekadar membetulkan dakwaannya itu tidak benar.
BACA: Lelaki Ini Perbetulkan Fakta Teori Black Hole Penerangan Ustaz Auni. Reaksi Netizen Bercampur Baur
Saya menemui banyak prejudis daripada sesetengah orang terhadap sains apabila seorang penceramah dikritik. Muncul konotasi seperti “sains menang”, “sains kafir yahudi” dan sebagainya.
Sains hanyalah alat. Alat yang digunakan untuk kita memahami bagaimana alam berfungsi. Saya tidak faham mengapa ada desakan/cadangan disuruh merujuk Quran/Hadith untuk mengkaji alam sedangkan tidak semua maklumat tentang alam daripada ruang objek samawi di angkasa hinggalah ke ruang zarah di dunia kuantum terkandung dalam kitab tersebut.
Kalau Quran/Hadith telah mengandungi segalanya tentang alam, mengapa saintis Islam dahulu kala bersusah payah melakukan kajian dan eksperimen untuk faham tentang alam ini. Saya tidak menolak Quran/Hadith, saya jadikan ia sebagai panduan hidup. Tetapi ia bukan kitab ensiklopedia yang mengandungi segala maklumat. Ia adalah kitab panduan hidup. Itu tujuannya.
Sumber: Zamir Mohyedin