
Dikecam Serta Mahu Boikot Kerana Ambil Pekerja Rohingya, Ini Respon Gardenia
Dikecam Serta Mahu Boikot Kerana Ambil Pekerja Rohingya, Ini Respon Gardenia
Isu berkaitan dengan pekerja asing kembali hangat lebih-lebih apabila menjadi tumpuan luar tentang Malaysia.
Tidak terkecuali, jenama roti kegemaran rakyat Malaysia iaitu Gardenia nampaknya telah dikecam netizen atas isu pengambilan bangsa yang menjadi isu hangat di sini, Rohingya.
Menerusi hantaran yang dikeluarkan di Facebook rasmi Gardenia Bakeries Kuala Lumpur, syarikat itu menerima aduan yang mendakwa pihaknya mendiskriminasi warganegara tempatan kerana menerima pekerja etnik Rohingya di kilang mereka.
Perkara tersebut mengundang kemarahan segelintir netizen sehingga ada yang mengancam untuk memboikot jenama berkenaan kerana mahu kesemua pekerja di syarikat roti itu adalah seratus peratus daripada rakyat tempatan.
Ramai yang mempersoal atas alasan apa Gardenia mengambil pekerja asing sedangkan jumlah pengangguran penduduk tempatan kini semakin meruncing berikut wabak COVID-19 melanda dunia.

Bagaimanapun, Gardenia tampil memberi penjelasan untuk menjernihkan keadaan.
Gardenia menjelaskan bahawa syarikat itu merupakan sebahagian daripada program kerjaya perintis kerajaan Malaysia yang diselaraskan dengan Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) yang bertujuan untuk merekrut komuniti etnik Rohingya Myanmar yang berlindung di negara ini.
“Sepanjang tempoh PKP, tenaga kerja Gardenia, warganegara Malaysia serta 57 orang Rohingya yang diambil dibawah Projek Perintis Kebenaran Bekerja (naungan Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Hal Ehwal Imigresen dan UNHCR) telah bekerja kuat 24/7 untuk memastikan seluruh warga Semenanjung Malaysia dapat terus menikmati bekalan roti,” menurut kenyataaan Gardenia.
https://www.facebook.com/GardeniaKL/posts/3051482104906290
Difahamkan, Projek Perintis Kebenaran Bekerja tersebut telah pun mula dilaksana sejak 2017 lagi.
Menerusi projek tersebut, golongan pendatang ini ditempatkan di sektor perladangan dang pengilangan untuk memberi kemahiran kepada mereka sebelum ditempatkan di negara ketiga.
Gardenia turut menegaskan bahawa keutamaan pekerjaan tetap diberikan kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan di kru pengeluaran kerana permintaan berterusan untuk produknya dan temuduga masih diteruskan mengikut jadual iaitu sebanyak dua kali seminggu.
Walaupun Gardenia sudah memberi penjelasan atas dakwaan tersebut, masih tidak memberi kepuasan kepada netizen kerana ia dianggap akan mengalakkan lagi orang luar datang bekerja di sini atas tiket UNHCR.
Trending now



