
Diisytihar Kecemasan Kesihatan Global, WHO Rayu Pasangan Sejenis Kurangkan Seks Elak Cacar Monyet
Terkini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, iaitu tahap amaran tertinggi bagi sesuatu penyakit.
Cacar monyet adalah virus yang biasanya menyebabkan gejala ringan termasuk demam, sakit dan ruam kulit yang dipenuhi nanah.
Sesiapa sahaja boleh menyebarkan virus itu, tetapi wabak semasa di luar Afrika tertumpu hampir secara eksklusif dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Situasi tersebut membimbangkan WHO dengan menggesa lelaki yang melakukan hubungan sejenis supaya mengehadkan bilangan pasangan mereka berikutan peningkatan mendadak kes cacar monyet.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu bahawa cara terbaik untuk melindungi daripada jangkitan cacar monyet adalah dengan mengurangkan risiko pendedahan.
“Kepada lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki, anda perlu mengurangkan bilangan pasangan seks, tidak mengadakan hubungan seks dengan pasangan baharu atau bertukar-tukar pasangan,” katanya.
Lonjakan kes cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei lalu di luar negara-negara Afrika Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu endemik sejak sekian lama.
Tedros memaklumkan setakat ini lebih 18,000 kes cacar monyet di 78 buah negara telah dilaporkan kepada WHO dengan 70 peratus kes dilaporkan di Eropah dan 25 peratus lagi di rantau Amerika.
Sejumlah 98 peratus kes cacar monyet di seluruh dunia menjangkiti lelaki yang melakukan hubungan sejenis.
Satu kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine minggu lalu mendapati bahawa 98 peratus individu yang dijangkiti merupakan lelaki gay atau biseksual, manakala 95 peratus kes berjangkit melalui hubungan seks.
Bagaimanapun, pakar-pakar berkata, jangkitan berlaku semasa hubungan rapat dan sentuhan fizikal tetapi mereka masih enggan mengkategorikan cacar monyet sebagai penyakit kelamin.
Cacar monyet merebak terutamanya melalui sentuhan kulit ke kulit, biasanya dengan seseorang yang mengalami ruam aktif, serta melalui sentuhan dengan pakaian atau peralatan tempat tidur yang tercemar.
Gejala cacar monyet sering sembuh dengan sendirinya dalam beberapa minggu. Pesakit mungkin menerima cecair tambahan dan rawatan tambahan untuk jangkitan bakteria sekunder.
Sumber: Kosmo, Harian Metro