Dihalang Lawat Palestin? Aplikasi Ini Bantu Lihat Kehidupan Penduduk Secara Realiti Maya

Palestine VR Lawatan Maya
Sumber: The Forward

Selepas dua ahli kongres Amerika Syarikat (AS) dihalang daripada melawati Palestin kerana mereka menyokong boikot ke atas Israel yang menekan penduduk Palestin, pihak berkuasa Palestin telah memanfaatkan teknologi untuk membawa pengalaman melawat negara itu dengan lebih meluas tanpa menjejakkan kaki di sana.

Sebuah aplikasi realiti maya dilancarkan bagi membolehkan penggunanya termasuk mereka yang dihalang memasuki Israel dan melawat wilayah Palestin yang diceroboh dengan akses kepada kehidupan harian penduduk Palestin.

Aplikasi tersebut dikenali Palestine VR dibangunkan oleh Palestine Institute for Public Diplomacy (PIPD), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berkongsi kisah Palestin dengan dunia.

Palestine VR Lawatan Maya
Sumber: The Jakarta Post

Palestine VR membolehkan pengguna mengikuti sorotan penyertaan Anggota Kongres Amerika Syarikat, Rashida Tlaib dan Ilhan Omar yang dilarang Israel melakukan lawatan.

Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh melihat tapak sejarah seperti Dome of Rock di Baitulmaqdis dan bagaimana peneroka haram Israel menghalau penduduk Palestin dari kediaman mereka di bandar lama Baitulmaqdis. Ia akan membawa pengguna menelusuri bumi Palestin yang sebenar dan bukannya seperti yang dipaparkan media arus perdana.

Pengguna Palestine VR juga akan berkenalan dengan komuniti Badwi Khan al Ahmar yang melindungi rumah dan sekolah mereka daripada dirobohkan kerajaan Israel.

Aplikasi ini mempunyai kandungan realiti maya berdurasi antara 4 hingga 12 minit dari lokasi tertentu dan kesemua video diterajui oleh empat pemandu pelancong berpengalaman yang sepatutnya mengiringi dua ahli kongres AS berkenaan.

Palestine VR Lawatan Maya
Sumber: Inside Arabia

“Dengan Palestine VR, kami mahu membawa realiti ini kepada orang ramai di seluruh dunia secara terus.

“Kami berharap ia memberi inspirasi kepada mereka untuk menegakkan keadilan dan sejarah,” kata Pengarah Eksekutif PIPD, Salem Barahmeh.

Aplikasi Palestine VR boleh didapati di Android dan iOS.

Sumber: The Jakarta Post