Doktor Yang Mencipta N95

Digelar ‘Plague Fighter’, Ini Kisah Doktor Malaysia Yang Mencipta Topeng N95

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kisah Doktor Malaysia Yang Mencipta Topeng N95.

Pemakaian pelitup muka dalam kalangan rakyat Malaysia telah menjadi suatu kemestian pada masa pandemik COVID-19 ini.

Pada masa ini terdapat pelbagai jenis pelitup muka (face mask) yang biasa di jual di pasaran. Jenis pelitup muka pula dikelaskan kepada surgical mask dan non-surgical mask.

Pelitup muka pembedahan pula dibahagikan kepada pelitup muka N95 dan 3 lapisan pelitup muka pembedahan. Kedua-duanya wajib dipakai terutama oleh para petugas kesihatan dan doktor yang secara langsung dan tidak langsung merawat pesakit COVID-19.

Pelitup N95 adalah pelitup muka yang paling berkesan bagi mencegah pemakainya daripada terkesan dengan jangkitan COVID-19 kerana ia boleh menapis 95 peratus udara berpartikel saiz besar sehingga sekecil 0.3 microns. Atas dasar itulah diberi nama pelitup muka N95.

Tahukah anda bahawa pelitup muka N95 dicipta oleh seorang rakyat Malaysia pada abad ke-19?

Biasanya kita mendengar segala teknologi berkaitan perubatan banyak berasal daripada pembuatan Barat. Namun, penciptaan N95 yang kini menjadi penggunaan efektif membendung gejala COVID-19 (selain surgical mask) ini merupakan seorang doktor yang berasal dari Pulau Pinang, Dr Wu Lien Teh.

Beliau dilahirkan pada tahun 1879 di Pulau Pinang dan mendapat pendidikan di Penang Free School. Beliau kemudiannya mendapat tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke universiti berprestij dunia iaitu Universiti Cambridge dalam bidang perubatan.

Walaupun nama beliau tidak dikenali luas dalam masyarakat Malaysia, beliau adalah pencipta topeng N95 pertama dan juga bertanggungjawab menghentikan wabak Manchuria yang mengorbankan sebanyak 60,000 nyawa.

Pada tahun 1910, beliau dipanggil ke China atas pesanan Mahkamah Imperial China untuk memimpin pasukan dalam usaha menghentikan wabak pneumonia yang menimpa Manchuria (kini Timur Laut China) di Asia Timur Laut. Dalam masa beberapa bulan sahaja, beliau berjaya menamatkan wabak tersebut.

Digelar Plague Fighter atas usaha beliau yang berjaya membendung dan menghentikan wabak tersebut.

Pada ketika itu, kawasan Manchuria telah dijangkiti dengan wabak yang boleh membunuh dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas seseorang dijangkiti. Kebanyakan masyarakat ketika itu percaya bahawa jangkitan penyakit berpunca daripada sejenis lalat.

Dr Wu yang bertanggungjawab menghentikan wabak itu mendapati penyakit tersebut berjangkit melalui cecair yang berada di dalam tubuh pesakit. Selepas penemuan itu, Dr Wu mengarahkan pihak berkuasa Manchuria untuk mengawal pergerakan para penduduk yang berada di sekitar situ.

Doktor Yang Mencipta N95
Sumber: ThinkChina

Doktor pencipta pertama pelitup muka N95

Beliau juga telah mencipta pelitup muka yang diubah suai daripada pelitup muka pembedahan sedia ada dengan menambah kain kasar seperti kapas sebagai pelapis tambahan.

Ia dilihat lebih selamat namun sebilangan doktor pada ketika itu masih meragui keberkesanan pelitup muka beliau, sehinggakan seorang doktor meninggal akibat wabak Manchuria setelah enggan memakai pelitup tersebut.

Menurut kertas Perpustakaan Perubatan Nasional, doktor yang enggan memakai topeng buatan Dr. Wu ialah Dr. Gerald Mesny. Merupakan seorang doktor terkemuka Perancis yang datang untuk menggantikan Dr. Wu, Dr. Gerald meragui pandangan beliau dan enggan memakai topeng tersebut.

Pelitup muka ciptaan Dr Wu semakin popular dan ketika pandemik melanda Sepanyol pada tahun 1918, N95 telah digunakan secara meluas.

Calon Anugerah Nobel

Atas sumbangan beliau dalam kajian penyakit berjangkit, Dr Wu telah dicalonkan sebagai salah seorang pemenang anugerah Nobel dalam bidang perubatan pada tahun 1935.

Dr Wu kemudiannya kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1937 akibat peperangan yang berlaku antara China dan Jepun. Kemudian, membuka klinik kesihatan di Ipoh dan meninggal dunia pada tahun 1960.

Jika anda terlihat papan tanda Jalan Wu Lean Teh di Ipoh dan Jalan Dr Wu Lien Teh di Pulau Pinang, ia diambil sempena nama pakar perubatan yang berjasa besar ini.

Doktor Yang Mencipta N95

Sumber: ibsfocus