
Didenda Penjara 12 Tahun Dan RM210 Juta, Najib Razak Lafaz Sumpah Laknat Depan Hakim
Najib Razak didenda penjara 12 tahun dan RM210 juta.
Selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
BACA: Tiada Penjarakan Sosial, Netizen Bimbang Penyokong Najib Cetus Kluster ‘Bossku’
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tuduhan salah guna kedudukan. Jika denda gagal dibayar, beliau boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun.
Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, hukuman didenda penjara 10 tahun dikenakan bagi setiap pertuduhan. Manakala bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, penjara 10 tahun dikenakan.

Bagaimanapun menurut Hakim Mohd Nazlan bagi semua pertuduhan, hukuman ini berjalan serentak.
Ketika ini, Najib yang diwakili pasukan pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang mengemukakan rayuan bagi penagguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda.
Selepas penghujahan pendakwaan dan pembelaan, Najib telah melafazkan sumpah laknat di hadapan Hakim Mohd Nazlan ketika diberi peluang bercakap.
Dalam ucapannya, Najib menegaskan bahawa dia tidak mengetahui mengenai wang milik SRC bernilai RM42 juta tersebut selain daripada memberitahu sepanjang hampir 10 tahun bergelar Perdana Menteri, beliau berjaya membawa peningkatan kepada ekonomi negara dengan melakukan pelbagai perubahan antaranya daripada segi infrastruktur sehinggalah kepada pendapatan golongan nelayan.
“Sebagai seorang Muslim, walaupun saya sudah katakan, izinkan saya mengucapkannya lagi.
Wallahi Wabilahi Watallahi … bahawa saya tidak menuntut RM42 juta, saya tidak merancang RM42 juta itu dan RM42 juta tidak ditawarkan kepada saya dan belum ada bukti mengatakan demikian.
Hanya itu yang saya mahu katakan.”