
Didakwa Vaksin Yang Disuntik Dalam Badan Akan Luput, Doktor Jelaskan Maksud Sebenar ‘Tarikh Luput’
Vaksin yang disuntik dalam badan ada tarik luput?
Pelbagai persoalan dan dakwaan mulai hangat diperkatakan selepas kementerian kesihatan mengumumkan bahawa suntikan penggalak diperlukan bagi mengekalkan status vaksinasi.
BACA: Risiko Varian Omicron, KKM Tak Tolak Kemungkinan Jadikan Dos Penggalak Sebagai Pelengkap Vaksinasi
Antara dakwaan yang diperkatakan sesetengah individu terutama golongan antivaksin bahawa vaksin yang telah disuntik di dalam badan manusia mempunyai tarik luput. Hal ini telah menyebabkan ramai salah anggap dengan terma tarikh luput pada vaksin.
Sehubungan itu, Dr. Malar Santhi Santherasegapan atau lebih dikenali dilaman Facebook dengan Celoteh Dr Malar menjelaskan bahawa vaksin yang telah disuntik ke dalam badan tidak mempunyai tarikh luput.
Menerusi video itu, Dr. Malar memaklumkan hanya vaksin yang belum disuntik dalam badan sahaja yang mempunyai tarikh luput dan perlu digunakan sebelum tarikh yang tertera pada setiap botol.
“Maksud sebenar tarikh luput adalah best before atau guna sebelum, sebagai contoh jika tarikh luputnya pada 1 Januari 2022, kena guna atau suntik dalam badan sebelum tarikh itu.
“Selepas tarikh itu sudah tak boleh suntik. Tetapi bila sudah ada dalam badan vaksin itu tidak akan luput pada tarikh berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua produk mempunyai tarikh luput misalnya roti, sardin, susu malahan ubat sekali pun mempunyai tarikh luput.
Namun, apabila berada dalam badan semua produk itu tidak mempunyai tarikh luput lagi sama seperti vaksin.
“Tarikh luput atau best before hanya ada bagi produk yang belum digunakan (sebelum masuk dalam badan). Apabila berada dalam badan ia sudah tidak ada tarikh luput,” katanya.
Justeru, orang ramai diminta untuk semak dahulu sebelum menyebarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Sumber: Facebook Celoteh Dr Malar