Didakwa Singa Kurus Walaupun Pelbagai Dana Diterima, Ini Penjelasan Dari Pihak Zoo Negara

Singa Zoo Negara Kurus
Sumber: Twitter

Singa Zoo Negara kurus

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksana, kebanyakan sektor pelancongan sudah kembali semula operasi termasuklah Zoo Negara mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Pastinya orang ramai ingin ‘bertanya khabar’ tentang keadaan haiwan-haiwan di sana setelah mengetahui kesukaran mereka sejak bermulanya PKP. Bagaimanapun, tular di media sosial mengenai sekeping gambar menunjukkan keadaan seekor singa jantan dalam keadaan kurus dan kurang bermaya.

Gambar tersebut menjadi tanda tanya netizen bagaimana hal begini boleh berlaku sedangkan ramai sedia maklum tentang dana yang diterima Zoo Negara tidak kiralah sama ada dari badan bukan kerajaan (NGO) ataupun orang ramai sendiri ketika awal PKP.

Melihat situasi tersebut, netizen mahukan ketelusan daripada pihak pentadbiran. Apabila timbul isu zoo yang terletak di ibu negara ini masih tidak cukup dana untuk menampung kos operasi penjagaan dan makanan haiwan serta para pekerja di situ, pasti ada yang mempersoal dengan mengaitkan pengurusan pihak pentadbiran.

Ditambah pula, laman sesawang Zoo Negara juga tidak mengemas kini serta mempamerkan penyata kewangan, membuatkan netizen berasa sangsi dengan pihak pentadbiran di taman haiwan itu.

Singa Zoo Negara Kurus
Sumber: Twitter

Namun begitu, ada yang menyatakan kos untuk menyelenggara keseluruhan haiwan dan habitatnya adalah antara RM900,000 hingga RM1.3 juta sebulan. Justeru, tidak adil untuk menyalahkan pihak berkenaan dengan hanya melihat sekeping gambar tular itu.

Pihak Zoo Negara tampil beri penjelasan

Untuk tidak mengeruhkan keadaan, Timbalan Presidennya, Rosly Rahmat Ahmat Lana menafikan dakwaan tersebut dengan berkata, singa yang diberi nama Manja Kani berusia 15 tahun itu, sihat dan diberikan makan seperti biasa, namun disebabkan pertukaran diet menyebabkan haiwan itu kurang makan.

Menerusi kenyataan wartawan Bernama, sepanjang PKP ini, Zoo Negara telah menerima sumbangan dari pelbagai pihak berjumlah RM8 juta. Bagi menggalakkan orang ramai untuk datang berkunjung di Zoo Negara, turut menawarkan tiket percuma selama setahun kepada 100 pengunjung terawal.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kebebasan orang ramai di kawasan tumpuan awam seperti Zoo Negara boleh ditarik balik sekiranya dikesan gagal mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan.