
Dibuang Kerakyatan, Penduduk Muslim Di India Buat Demonstrasi Bantah Akta Kerajaan
Selepas Indonesia, India merupakan negara kedua terbesar yang memiliki ramai penganut Islam. Daripada jumlah rakyat di India sekitar 16.4% merupakan Muslim, manakala 80.5% adalah Hindu.
Sejak akhir Ogos lalu, dua juta rakyat di kawasan Timur Laut India telah hilang kerakyatan mereka selepas negeri Assam mengeluarkan senarai kerakyatan yang menyasarkan untuk mengusir anasir asing berkuat kuasa 11 Disember lalu.
BACA: Tapak Masjid Purba Dibenarkan Untuk Pembinaan Kuil, Penganut Islam Di India Terpaksa Akur
Daripada 33 juta penduduk, hanya 31.1 juta sahaja yang memasuki senarai Pendaftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC), manakala 1.9 juta lagi dianggap sebagai tidak layak dan kebanyakan daripada jumlah ini adalah Muslim selain daripada Benggali dan Hindu yang telah tinggal di sana berdekad lamanya.
Manakala kebanyakan yang menerima kerakyatan adalah individu beragama Hindu, Sikhm Buddha, Parsi dan Kristian dari negara Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan.
Sejak beberapa dekad lalu, Assam sering dilanda ketegangan terutamanya daripada segi perbezaan agama dan etnik kerana negeri terpencil ini kebanyakan rakyat yang menghuni adalah warga asing selepas berjuta penduduk melarikan diri ke India semasa pemerintahan kolonial British dan perang Bangladesh 1971.
Individu yang dilucutkan kerakyatannya akan diisytiharkan sebagai warga asing kemudian dihantar ke kem tahanan sementara sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing. Kerakyatan hanya akan dipulangkan apabila mereka mempunyai dokumen sah kerakyatan seperti sijil lahir atau geran tanah. Namun perkara ini agak sukar kerana majoriti penduduk di Assam adalah buta huruf.
Kerajaan India dikhabarkan pada ketika ini sedang dalam proses untuk membina 10 buah kem tahanan untuk menempatkan mereka yang mana kem pertama adalah sebesar tujuh padang bola sepak yang lengkap dengan tembok tinggi dan menara pengawal. Di sana juga dikatakan akan menempatkan tahanan ibu mengandung serta kanak-kanak.
Sekiranya kerajaan India berhasrat meluaskan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Kewarganegaraan 1955 ini ke seluruh India seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi, tidak mustahil ini akan membawa kepada isu kemanusiaan yang serius, malah dijangka lebih buruk daripada isu Rohingya-Myanmar dan Uighur-China.
BACA: Tawar Ganjaran Mewah, China Anjur Program ‘Rog*l Sistematik’ Paksa Wanita Uighur Kahwini Lelaki Han
Disebabkan itu jugalah penduduk India sudah mula melakukan protes ganas secara besar-besaran bagi membantah undang-undang tersebut beberapa hari lalu sehingga menimbulkan ketegangan dan tekanan kepada Modi.

Cuba meredakan keadaan, Modi menafikan wujudnya kem tahanan seperti yang didakwa dan memberikan jaminan kepada penduduk Islam yang berasal daripada nenek moyang mereka (orang India) bahawa mereka akan didaftarkan sebagai rakyat India.
Modi juga dikatakan telah berjumpa dengan Majlis Menteri bagi mencari penyelesaian dalam menghentikan protes keganasan tersebut. Modi telah mencetuskan kemarahan selepas beliau dengan lantang bersuara penunjuk perasaan boleh dikenal pasti melalui pakaian mereka; merujuk kepada tudung dan pakaian orang Islam.
Sepanjang protes berlangsung (bermula 15/16 Disember), seramai 25 orang dilaporkan maut manakala lebih 7,000 individu diberkas di bawah undang-undang atas kesalahan merusuh.
Masyarakat Muslim di India terus ditekan dengan wujudnya akta baharu yang jelas bertentangan dengan prinsip pembentukan negara India yang berpegang pada republik sekular di mana agama seseorang tidak menjadi asas kewarganegaraan.
Untuk ringkasan cerita mengenai apa yang berlaku di India dalam bentuk poin, anda boleh baca di hantaran bawah:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10215305987792473&set=a.1116894892091&type=3
Sumber: Berita Harian, Sinar Harian, Astro Awani, VOX