
Dibina Di Tengah ‘Pulau’, Ini Kisah Di Sebalik Seni Bina Memukau Masjid Pulau Gajah
Jika anda pernah menjejakkan kaki ke Pengkalan Chepa, jangan lepaskan peluang singgah sebentar di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Tersergam indah dan penuh dengan seni bina halus bercirikan Islam dan Melayu, masjid ini turut menerapkan gabungan hiasan binaan dari empat buah negara luar seperti Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki.
Yang menariknya, masjid yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ini dibina dengan hasil biayaan seorang penderma Muslim dengan dana sebanyak RM 6 juta yang mewakafkan tanah miliknya yang dibeli sejak 25 tahun lalu.
90% daripada ukiran tangan di Masjid Ar-Rahman ini dihasilkan oleh 10 orang pekerja dari Indonesia yang mana separuh daripada ukiran tersebut adalah ayat suci Al-Quran.
Menjadi sebutan dan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, lokasinya yang berada di atas tanah paya bakau menyebabkan ianya seolah-olah berada di tengah-tengah pulau.
Setiap arca dan hiasan dalaman di dalam masjid ini mempunyai maksud yang tersirat.
Ukiran ayat Al-Quran daripada kayu yang memenuhi bahagian atas masjid pula menggunakan kepakaran pengukir dari Japara, Indonesia. Dua batang tamar yang menjadi hiasan mimbar masjid diimport khas dari Timur Tengah.
Batu yang menjadi hiasan di kawasan tepi masjid diilhamkan daripada Batu Bersurat Terengganu, manakala beduk dan ketuk-ketuk di luar kawasan masjid adalah hasil pembelian asli negara jiran.
10 batang kayu cengal dibawa khas dari kawasan hutan Hulu Kelantan menjadi penyeri dalam pembinaan masjid yang mana lima batang kayu sebesar pemeluk yang didirikan di ruang solat masjid mewakili Rukun Islam.
Bukan itu sahaja, pembinaan yang mesra OKU dan warga emas menjadikannya sebuah masjid yang sering dipilih untuk dikunjungi kerana bukan sahaja ada tangga dan laluan untuk dua golongan memerlukan ini tetapi kemudahan di tandas juga dibuat untuk kemudahan mereka.
Walaupun dari luaran, Masjid Ar-Rahman ini lebih kelihatan tradisional kerana diinspirasikan daripada Masjid Kampung Laut (masjid tertua di Malaysia), mereka tetap mahu menerapkan nilai teknologi hijau bagi memastikannya mesra alam.
Hasilnya, tanpa perlu menggunakan penghawa dingin, masjid yang mula dibina sejak awal 2016 ini tetap sejuk kerana binaan tingkap dari atas ke bawah di sekeliling bangunan ini telah membuka laluan angin untuk ‘bergerak’ selain daripada rimbunan pokok dan parit yang mengelilinginya.
Sekiranya cuaca hujan, air hujan akan dikumpulkan bagi kegunaan air pancut di sekeliling masjid bagi mengurangkan haba ketika musim panas dan menyiram pokok ketika musim kemarau.
Mampu memuatkan 1,000 orang jemaah dalam satu masa, Masjid Ar-Rahman dibina di atas tapak seluas 0.8 hektar ini turut menyediakan ruangan parkir kenderaan yang luas bagi memuadahkan pengunjungnya.
Seolah memberi gambaran berada di sebuah masjid yang dibina oleh Wali Songo, penyebar Islam di Tanah Jawa, Indonesia, masjid ini mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan dan diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Tonton pemandangan atas Masjid Pengkalan Chepa dalam pautan di bawah:
https://www.facebook.com/404709143002379/videos/2138805922841917/
Sumber: MStar, Berita Harian