
Diberhentikan Dengan Notis 24 Jam, Hampir 1,000 Pekerja Buat Aduan Di Jabatan Tenaga Kerja
Diberhentikan dengan notis 24 jam, hampir 1,000 pekerja sebuah perusahaan antarabangsa di Kuantan melakukan aduan di Jabatan Tenaga kerja (JTK) antara 21 hingga 30 Mei lalu.
BACA: Lebih 30 Ribu Kakitangan Industri Perhotelan Hilang Pekerjaan, 10 Ribu Lagi Dipaksa Cuti
Wakil kepada pekerja tersebut, Muhammad Shafiq Ashraf Marzelan, 28 tahun berkata aduan dibuat bagi mendapatkan pembelaan kerana notis pemberhentian 24 jam menjejaskan pendapatan dan memberikan tekanan kepada mereka yang rata-ratanya bergaji kurang RM2,500 sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan.
Meskipun kontrak sudah menetapkan sekurang-kurangnya makluman diberikan dalam tempoh sebulan, majikan tetap melanggarnya. Malah ada juga yang diberhentikan tanpa pampasan dan alasan.
“Ada yang beritahu dapat pampasan tapi terlalu kecil sedangkan kami ada tanggungan, ada anak isteri. Dalam masa sama tempat kami kerja diambil oleh pekerja asing yang mungkin tiada tauliah dan lesen untuk mengendalikan peralatan dan mesin di kilang.” – Azmi Putra, 38 tahun
Azmi berkata pihak pengurusan ada maklumkan dan berikan surat mereka diberhentikan dengan notis 24 jam namun berapa banyak pampasan yang akan diperoleh dan bila masih tidak diketahui.

Seorang peguam, Mohd Faizal Hiqram Azmi berkata, pekerja yang bergaji bawah RM2,000 mempunyai hak untuk membuat aduan kepada JTK sekiranya diberhentikan kerja tanpa sebab munasabah kerana dilindungi Akta Pekerja.
Ketahui hak anda sebagai pekerja DI SINI.
Wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini menyebabkan ramai penduduk dunia kehilangan pekerjaan.
Sekiranya wabak ini masih beterusan sehingga akhir tahun, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan sekitar sekurangnya 100,000 rakyat Malaysia berisiko untuk hilang pekerjaan mereka. Ini kerana jumlah pekerja yang diberhentikan akibat daripada impak ekonomi daripada virus korona boleh menjadi dua kali ganda daripada 40,000 orang yang hilang pekerjaan pada tahun lalu.
Sumber: Sinar Harian