Tangkap layar dari Facebook Muhammad Hanis

“Dia Bodoh Sikit” – Lagi Kisah Biadab Dan Diskriminasi Berterusan Terhadap Golongan OKU Dilaporkan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Masih ada lagi segelintir pihak di dalam masyarakat pada hari ini yang didapati tidak menghormati dan gemar mempersenda golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Belum lagi reda kisah diskriminasi terhadap golongan OKU yang ingin memohon pekerjaan di sebuah cawangan kedai kopi popular baru-baru ini, timbul pula satu lagi kisah lain.

BACA: Wanita Luah Rasa Kecewa Dinafi Hak Pesan Makanan Melalui Pandu Lalu Hanya Sebab OKU

Kali ini, kejadian dilaporkan berlaku di sebuah restoran makanan segera popular yang terletak di Forest Heights, Senawang, Negeri Sembilan.

Berpunca dari salah faham berkaitan jadual kerja, seorang pengurus restoran yang tidak sensitif tergamak menyinggung perasaan dan melabel pekerja OKUnya dengan gelaran ‘bodoh’.

Diceritakan oleh Muhammad Hanis di laman Facebooknya, kejadian melibatkan adiknya yang merupakan seorang yang mempunyai masalah disleksia.

Disleksia merupakan sejenis masalah pembelajaran khusus yang melibatkan perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi.

Mereka yang mempunyai disleksia mungkin mengalami kesukaran untuk membaca dan menulis serta lebih cenderung untuk melihat huruf, perkataan dan nombor secara terbalik.

Mereka juga sering disalah anggap dan digelar sebagai pemalas, bodoh atau lembab walaupun keupayaan intelektual mereka sebenarnya adalah normal.

Carian di Google menemukan beberapa selebriti dan tokoh terkenal yang turut dikaitkan dengan disleksia seperti Lee Kuan Yew, Richard Branson, Tom Cruise, Jennifer Aniston, Keira Knightley, Steven Spielberg, Muhammad Ali, Leonardo da Vinci, Napoleon, Winston Churchill, Thomas Edison malah juga Albert Einstein.

BACA: Isu ‘Berlakon’ Jadi OKU, Ras Adiba Buat Laporan Polis Walaupun Sudah Maafkan

Apa yang dikesali ialah, menurut hantaran yang dibuat oleh Muhammad Hanis tersebut, seolah-olah tidak ada langsung langkah susulan profesional dan sewajarnya diambil oleh pihak pengurusan restoran.

Keadaan juga menjadi bertambah hangat apabila berlaku kejadian melemparkan kata-kata kasar dan keji serta provokasi berterusan di dalam Group WhatsApp.

Beliau yang sangat marah dengan kejadian berbaur kebencian, diskriminasi dan penindasan terhadap golongan OKU tersebut amat berharap agar salah guna kuasa pengurus restoran tersebut dapat disiasat serta diadili dengan baik bagi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi kepada OKU yang lain.

Tangkap layar dari Facebook Muhammad Hanis
– Tangkap layar dari Facebook Muhammad Hanis

NOTA: Untuk khidmat Kumpulan Sokongan Disleksia, hubungi Persatuan Dyslexia Malaysia di 349 Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur. Tel: 03-42651632. E-mel: [email protected]

Sumber: Muhammad Hanis