
Di Sebalik Ketiadaan Kes, Ini Yang Korea Utara Cuba Sembunyikan Dari Dunia
Di saat dunia sudah mencatatkan kes sebanyak 3.13 juta, Korea Utara masih lagi muncul misteri dengan ketiadaan kes. Ada apa sebenarnya di sebalik ketiadaan kes COVID-19 di Korea Utara?
Mendakwa masih bebas wabak pandemik ini, Korea Utara mula menutup pintu sempadannya sejak Januari sebaik sahaja wabak berkenaan dikesan di China.
BACA: Empat Negara Asia Ini Masih Bebas Dari Wabak COVID-19
Terletak bersebelahan China, Korea Utara mula melaksanakan langkah pengawalan yang ketat bagi memastikan rakyat republik itu bebas daripada dijangkiti.

Hasil daripada langkah tegas berkenaan Pengarah Jabatan Kecemasan Anti Wabak, Park Myong Su memberitahu Korea Utara berjaya mencatatkan rekod itu.
Langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan dan kuarantin terhadap semua yang memasuki negara selain daripada melakukan proses pembasmian kuman, menutup sempadan dan menghalang jalan laut serta udara.
Meskipun begitu, pakar dan pemerhati antarabangsa tidak yakin dengan kenyataan itu kerana Korea Utara sebelum ini pernah memohon bantuan antarabangsa berkenaan dengan kelengkapan perubatan.
Didakwa memiliki sistem penjagaan kesihatan yang lemah dan cuba menutup kelemahan tersebut, Korea Utara turut meminta dan menerima bantuan kit ujian diagnostik COVID-19 sebanyak 1,500 unit dari Rusia.
Malah Korea Utarra juga turut menerima bantuan hand sanitizer daripada sebuah pertubuhan NGO Korea Selatan dalam usaha memerangi wabak pandemik itu meskipun hubungan keduanya masih lagi tegang susulan isu menghentikan pemilikan senjata nuklear di Pyongyang.

Menimbulkan rasa sangsi dalam kalangan negara dunia lain, Korea Utara terkenal sebagai negara paling tertutup di dunia dan masih lagi mengamalkan hukuman kejam kepada sesiapa yang disabitkan kesalahan.
Malah sekatan di pintu sempadan Korea Utara-China juga agak longgar jika dibandingkan dengan pintu sempadan di kawasan Korea Selatan.
Walaupun ada media melalui sumber dalam yang mengaitkan kematian seramai 180 orang askar pada Januari dengan wabak pandemik ini, Korea Utara masih menutup rapat mulut mereka dan menafikannya. Malah penafian ini turut disokong oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Terdahulu, Korea Utara pernah menembak mati pesakit yang disyaki menghidap wabak COVID-19 kerana melarikan diri daripada dikuarantin dan cuba mengancam keselamatan awam.
BACA: Ini Yang Akan Berlaku Di Korea Utara Sekiranya Kim Jong-un Dilaporkan Meninggal Dunia
Pemerintah Agung Korea Utara, Kim Jong-un yang berdepan dengan kontroversi sudah meninggal dunia dikatakan kini sedang bersembunyi dan mengasingkan diri susulan daripada pandemik ini.