
Dexter – Pembunuh Bersiri ‘Berhati Mulia’ Kembali Mengganas
Kali terakhir membuat penampilan pada tahun 2013, Dexter Morgan yang telah lama ‘menghilang’ akhirnya kembali muncul membuat kejutan melalui teaser terbaru minggu lalu.
Siri TV yang memecah rekod saluran Showtime dengan tontonan hampir 3 juta penonton ketika finalenya 8 tahun yang lalu mengisahkan tentang seorang pembunuh bersiri yang bernama Dexter.
Selama 8 musim yang merangkumi 96 episod, kehidupan seharian Dexter yang dibintangi oleh Michael C. Hall memang amat seronok ditonton dan ditunggu-tunggu setiap minggu.
Walaupun beliau seorang pembunuh, Dexter sebenarnya bertugas sebagai Juruanalisis Unit Forensik Pasukan Polis Miami Metro.
Dexter juga hanya membunuh mangsanya yang ‘benar-benar layak’ untuk dibunuh. Dalam erti kata yang lain, sisi gelap Dexter hanya membunuh ‘orang jahat’ sahaja.
Musim-musim terakhir Dexter walaubagaimanapun dikecam hebat kerana dikatakan agak hambar dan tidak memberi kepuasan sebenar buat peminat-peminatnya.
Seperti tayangan semula filem Justice League melalui gerakan #ReleaseTheSnyderCut, Dexter akhirnya turut kembali atas desakan peminat tidak lama lagi.
Pasti ramai peminat Dexter yang gembira dengan berita ini. Mungkin selepas ini peminat Game of Thrones pula boleh ramai-ramai mendesak HBO?