
Dewan Rakyat Perkenal Cuti Sakit Haid Untuk Wanita, Ramai Yang Tak Setuju?
Baru-baru ini dalam Dewan Rakyat ada membincangkan mengenai cadangan untuk memperkenalkan cuti sakit haid kaum wanita.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, cadangan itu masih dikaji dan dijangka siap pada Oktober ini.
“Kajian sedang dibuat dan akan siap pada Oktober tahun ini. Selepas siap, ia akan dibentangkan kepada kerajaan,” kata Timbalan Menterinya, Siti Zailah Yusof.
Rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita merupakan sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.
Perkara itu juga pernah dikemukakan oleh PBM pada Mei lalu selepas Sepanyol menjadi negara Barat pertama yang menawarkan cuti sakit haid tiga hari sebulan kepada wanita yang mengalami senggugut ketika bekerja.
Topik yang dibincangkan ini telah mendapat perhatian umum, termasuklah pelakon dan usahawan Fizo Omar yang bertanyakan pendapat orang ramai mengenai isu tersebut di Instagram miliknya.
Menerusi hantaran tersebut, Fizo Omar menyatakan bahawa negara Malaysia adalah antara negara paling banyak cuti umum pada 2019 dalam Asia Tenggara.
Bagaimanapun, hantaran tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi orang awam dan turut tular di platform media sosial lain.
Rata-ratanya bersetuju dengan cadangan yang dibawa Dewan Rakyat kerana setiap wanita mempunyai tahap sakit senggugut yang berlainan.
“Perlu diingati, senggugut ketika haid berbeza untuk setiap wanita. Ada yang sampai tak boleh bangun, kaki kejang,etc. Sesetengah kita ni privilege sangat sampai tak ada empati.”
Dalam pada itu, ramai yang berkongsi pengalaman masing-masing ketika kedatangan sakit haid sewaktu hari bekerja.
Namun begitu, ada juga individu yang tidak bersetuju dengan cadangan cuti tersebut kerana menganggap Malaysia terlampau banyak cuti dan keadaan itu akan membawa kekurangan produktiviti pekerja.
Ada yang mencadangkan gunakan sahaja cuti sakit yang sedia ada untuk cuti sengugut. Selain itu, khuatir ada yang mengambil kesempatan dengan perkenalan cuti sakit haid tersebut.
Difahamkan, pengenalan cuti haid memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan sebelum dipertimbangkan untuk dilaksanakan.
Selain Sepanyol, beberapa negara lain seperti Jepun, Taiwan dan Indonesia berjaya melaksanakan dasar cuti haid.
Trending now



