Denda Baharu Cuci Tandas Buat Penduduk Jakarta Yang Ingkar Peraturan Penjarakan Sosial
Denda cuci tandas.
Pelbagai langkah diambil oleh pelbagai negara di dunia untuk menyekat penularan COVID-19.
Ada yang menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan, pembatasan sosial, penguncian atau perintah darurat. Bagi yang melanggar pula, ada yang dipukul, dikenakan denda atau disumbat di dalam penjara.
Indonesia sekali lagi menarik perhatian negara lain apabila mengenakan denda cuci tandas sekiranya rakyat negara itu ingkar atau melanggar peraturan penjarakan sosial seperti yang ditetapkan kerajaan.
Mencuci tandas menjadi antara senarai denda dalam peraturan baharu yang bertujuan memerangi jangkitan COVID-19 di kota raya berkenaan. Keluar dari rumah tanpa memakai penutup muka boleh didenda sebanyak 250,000 rupiah (RM73).
Sementara itu penduduk yang berhimpun di khalayak ramai boleh dihukum membersihkan kemudahan awam termasuk tandas sambil memakai ves tertera label ‘pelanggar peraturan’.
Berdasarkan peraturan baharu, syarikat yang tidak mengendahkan arahan penutupan atau melanggar peraturan kesihatan awam pula boleh didenda sehingga 50 juta rupiah (RM14,500).
Jurucakap Pemerintah Indonesia, Achmad Yurianto berkata, rakyat negara itu perlu membudayakan gaya hidup sihat dan menjalani normal baharu bagi membendung penularan virus pandemik berkenaan.
Sementara itu, di daerah Sragen, penduduk yang langgar perintah penjarakan sosial dikenakan hukuman tinggal dalam rumah berhantu.
Tindakan pihak berkuasa itu sebagai pengajaran buat mereka yang ingkar PKP di samping kepercayaan pada alam ghaib mempunyai peranan penting dalam cerita-cerita rakyat Indonesia.
Jakarta yang memiliki kira-kira 30 juta penduduk mengenakan perintah berkurung tidak sepenuhnya sejak bulan lalu apabila kes jangkitan COVID-19 meningkat dengan mendadak.
Beberapa bandar di Indonesia turut mengenakan sekatan hampir sama. Namun pelanggaran peraturan berlaku secara berleluasa.
Kematian akibat COVID-19 di Indonesia dilihat terus melonjak kepada 1,007 kes dengan hampir 14,749 kes positif. Namun, jumlah itu dipercayai lebih tinggi berbanding angka rasmi.
Kalau di Malaysia mewujudkan peraturan sebegini agaknya apa yang bakal berlaku ya? Yang pasti, dapatlah ringankan beban golongan B40 yang tidak berkemampuan membayar denda sebanyak RM1000 selain dipenjara.
Sumber: Mediacorp