
‘Deliver Us From Evil’ Filem Penuh Aksi Pertarungan
Deliver Us from Evil filem aksi yang perlu anda tonton jika anda peminat genre ini.
Sekiranya anda mencari tontonan dengan genre aksi yang plotnya laju dan tidak bosan, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk menonton filem yang baru sahaja ditayangkan pada tahun lalu.
Menampilkan dua pelakon lejen dari Korea Selatan iaitu Hwang Jung-min dan Lee Jung-jae, filem Deliver Us from Evil ini dimulai dengan babak seorang pembunuh upahan, In-nam (lakonan Hwang Jung Min) yang diberikan tugasan untuk membunuh samseng Jepun, Koraeda.
Selepas berjaya menyelesaikan misinya, beliau bercadang mahu bersara dan menghabiskan hidupnya di Panama.
Dalam satu babak yang lain yang berlatar di Thailand, Young-joo (lakonan Choi Hee-seo) menghantar anaknya, Yoo-min (lakonan Park So-yi) ke sekolah dan berjumpa dengan seorang ejen hartanah bagi menjalankan urusan pelaburan dalam padang golf.
BACA: ‘ANNA’ Filem Aksi Thriller Ala John Wick, Tapi Dalam Versi Wanita
Kemudiannya plot diteruskan dengan insiden penculikan Yoo-min yang membawa kepada kematian Young-joo.
Menerima berita tersebut, In-nam ‘terbang’ ke Thailand untuk menyelamatkan Yoo-min daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk pasaran gelap aktiviti penjualan organ.
Terpaksa berdepan dengan adik Koraeda, Young-bae (lakonan Lee Jung-jae) menyebabkan misi menyelamatkan Yoo-min menjadi lebih sukar.
Mendapatkan bantuan daripada seorang lelaki transgender, Yui (lakonan Park Jung-min), In-nam semasa dalam misi tersebut mendapati bahawa Yoo-min sebenarnya dijual kepada organisasi penjenayah Thailand iaitu Chaopo.
Terpaksa berdepan dengan tiga ‘serangan’ iaitu daripada Young-bae, Chaopo dan pihak polis, filem ini bukan sekadar filem yang sekadar menawarkan aksi-aksi pertarungan tetapi juga sebuah filem yang tanpa dijangka bakal menyentuh emosi penonton.
Tonton trailer filem Deliver Us from Devil di pautan bawah: