
Dedah Perbuatan Guru Buat Jenaka Rogol, Pelajar Terima Surat Tuntutan Fitnah RM1 Juta
Dedah Perbuatan Guru Buat Jenaka Rogol, Pelajar Terima Surat Tuntutan Fitnah RM1 Juta.
Pelajar perempuan sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam sebelum ini pernah tular selepas mendedahkan tindakan seorang guru lelaki menjadikan jenayah rogol sebagai satu jenaka sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.
Perkembangan terkini, dia memaklumkan menerima surat tuntutan mahkamah daripada guru sekolah berkenaan.
Ain Husniza melalui hantaran di laman Twitter memberitahu, dia dan ibu bapa diberikan tempoh tujuh hari untuk semua tuntutan pernyataan-pernyataan fitnah.
Antara lain mereka dituntut membuat permohonan maaf serta pampasan bernilai RM1 juta. Jika gagal guru terbabit akan mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang.
“Hari ni Ain tiba-tiba terima surat tuntutan atas ‘pernyataan-pernyataan fitnah.
“Dalam surat ni Ain diberi 7 hari untuk untuk (penuhi) semua tuntutan ni, antaranya untuk membayar RM1,000,000 sebagai ganti rugi.
“All I ask is semua doakan urusan Ain dipermudahkan,” ciapnya.

Menerusi tinjauan di laman sosial itu, rata-rata netizen turut terkejut dengan tindakan guru terbabit yang menghantar surat tuntutan saman fitnah.
Ia turut mendapat perhatian ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Anwar, gejala victim blaming tidak seharusnya dijadikan normalisasi dan kaum wanita serta kanak-kanak mesti dibela.
“Tolong jangan normalisasi gejala ‘victim blaming’ terutamanya dalam kes seperti ini. Kita mesti hormati kaum wanita, dan kanak-kanak mesti dibela.
“Masyarakat mesti tegas melawan budaya jelek ini dan harus dukung perjuangan adik Ain.
“Teruskan perjuangan!”
Tolong jangan normalisasi gejala ‘victim blaming’ terutamanya dalam kes seperti ini. Kita mesti hormati kaum wanita, dan kanak-kanak mesti dibela.
Masyarakat mesti tegas melawan budaya jelek ini dan harus dukung perjuangan adik Ain.
Teruskan perjuangan! https://t.co/aFN34J7RwC
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) August 4, 2021
Menerusi MalaysiaKini, bapa Ain memberitahu bahawa pihak mereka sedang mendapatkan nasihat mengenai langkah sepatutnya diambil.
Ain Husniza menceritakan mengenai apa yang berlaku di sekolahnya dalam satu video TikTok yang dihasilkannya dan disiarkan pada 24 April.
Menurutnya satu kelas mengenai pendidikan jasmani yang dikendalikan oleh seorang guru lelaki telah membincangkan tentang bagaimana remaja bawah umur mempunyai hak untuk menentang gangguan seksual.
Video itu ditonton secara meluas, dan, dalam masa semalaman, Ain Husniza menjadi nama yang dikenali ramai. Ramai gadis mula menghubunginya untuk bercakap mengenai insiden serupa, kata pelajar itu.
Apabila menjadi isu polis, guru berkenaan dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) hingga siasatan kes ini selesai.