Foto Editor Odisi

Daya Intelek Dan Tahap Pemikiran Berbeza Yang Terdapat Pada Pelawak Antarabangsa

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Terdapat banyak perbezaan yang ketara di antara pelawak tempatan dan antarabangsa dan agak tidak wajar untuk membandingkannya.

Dari segi adat dan budaya, pelawak di peringkat antarabangsa mungkin masih boleh mempersendakan pemimpin dan agama malah menggunakan bahasa-bahasa kesat sebagai ‘komedi’.

Tetapi di Malaysia, perbuatan tersebut akan dianggap sebagai tidak beradab serta kurang ajar malah boleh diambil tindakan tegas serta didakwa.

Namun, jika dilihat dari segi pemikiran dan daya intelek, agak tidak keterlaluan jika dikatakan di sini, pelawak di Malaysia agak jauh ketinggalan.

Lawak yang dipersembahkan juga masih hambar misalnya rancangan hiburan seperti Maharaja Lawak Mega yang agak memalukan jika hendak dibandingkan dengan Saturday Night Live yang disiarkan sejak 1975 lagi.

Ini termasuklah juga rancangan bual bicara seperti The Daily Show with Trevor Noah yang bukan sahaja penuh dengan jenaka dan sarat dengan informasi, tetapi masih jauh untuk ditandingi oleh rancangan hiburan tempatan.

Ironinya, The Daily Show with Trevor Noah turut menampilkan seorang pelakon komedi kelahiran Johor, Ronny Chieng yang memiliki ijazah perundangan dan perdagangan dari sebuah universiti di Australia.

Daya intelek dan pemikiran pelawak seperti Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan Trevor Noah ini turut disentuh lagi oleh Nik Hasyudeen melalui hantarannya di Facebook berikut.

Tangkap layar dari Facebook Nik Hasyudeen
– Tangkap layar dari Facebook Nik Hasyudeen

Saya suka pelawak macam Trevor Noah.

Trevor Noah adalah seorang pelawak bersendirian (stand up comedian) yang berasal dari Afrika Selatan yang kini menjadi hos program komedi terkenal di Amerika The Daily Show.

Ayahnya berbangsa Swiss dan ibunya dari kaum Xhosa (berkulit hitam). Di zaman apartheid, hubungan ini dikira terlarang kerana orang yang berkulit putih tidak boleh berkahwin dengan orang yang berkulit hitam. Trevor belajar di Maryvale College Catholic School, Johannesburg.

Berbeza dengan program-program jenaka Malaysia seperti Maharaja Lawak dan seumpama dengannya, The Daily Show ialah program lewat malam di Amerika yang merangkumi komedi serta berita-berita satira berkenaan perkembangan terkini, tokoh politik dan organisasi media.

Trevor telah menjadi hos The Daily Show semenjak tahun 2015. Walaupun pada awalnya ramai orang yang meragui kemampuan Trevor untuk mengganti hos sebelumnya, Jon Stewart, namun Trevor berjaya membuktikan bahawa dia adalah seorang hos yang mempu membawa konsep The Daily Show dengan jayanya sehingga sekarang.

Bagi yang menyangka rancangan ini hanyalah untuk menggelikan hati semata-mata, anda salah. Satira yang dipersembahkan akan berinteraksi dengan daya intelek anda dan memahamkan anda berkenaan isu-isu sosial, politik, budaya dan juga antarabangsa. Senyum sambil belajar, bukannya ketawa sampai menjadi lebih bodoh seperti yang popular di rantau sebelah sini.

Kritikan-kritikan Trevor yang tajam ke atas polisi dan gelagat ahli politik menyerlahkan beliau sebagai seorang yang mempunyai daya intelek yang tinggi. Saya percaya banyak kajian yang perlu dibuat bagi setiap program agar jenaka yang dipersembahkan tidak menjadi lawak bodoh yang membodohkan penonton juga.

Saya tidak pelik orang yang kulit tidak putih seperti Trevor akan mampu memasuki arena politik kerana dia bukan sahaja berpengaruh di kalangan penonton tetapi jauh lebih bijak berbanding dengan ahli-ahli politik yang ramai juga mahu menjadi pelawak dengan polisi-polisi separuh masak dan tindakan-tindakan yang bodoh. Mungkin menjadi pelawak ialah apa yang perlu dilakukan untuk memenangi undi dari ahli masyarakat yang juga tak tahu apa yang mereka mahu? Oleh kerana Trevor tidak dilahirkan di Amerika, dia tidak boleh bertanding sebagai Presiden Amerika, berita bagi bagi Trump dan ahli-ahli politik yang segila dengannya.

Bila pelawak dilantik memegang jawatan politik di tempat lain, janganlah disamakan mereka dengan pelawak di sini. Di dalam masyarakat tertentu, mempunyai daya intelektual yang tinggi diperlukan untuk menjadi pelawak yang berjaya. Saya pernah katakan di dalam pemerhatian saya, tidak ada kelulusan minima yang diperlukan untuk menjadi ahli politik di sini. Malah, apa yang dipelajari seperti nilai jujur dan amanah kena dikorbankan untuk menjadi ahli politik yang berjaya.

Walaupun Volodymyr Zelenskyy dikenali sebagai seorang pelawak, beliau adalah lulusan undang-undang dari Kryvyy Rih Economic Institute, sebuah dari kampus Kyiv National Economic University. Semasa berkempen di dalam pilihanraya Presiden, beliau berkempen untuk mencegah korupsi dan ini mendapat sokongan yang kuat dari rakyat Ukraine. Rupa-rupanya rakyat Ukraine yang dikatakan macam-macam apabila diserang oleh Russia tu pun kata rasuah dan korupsi tu hina. Bagaimana pula rakyat di negara yang nak Islam? Benci rasuah dan korupsi atau diterimanya jenayah-jenayah ini sebagai “amalan tempatan”?

Kita pernah ada artis-artis seperti P. Ramlee dan Sudirman Arshad yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut mengembangkan nilai-nilai sosial yang tinggi di dalam karya-karya mereka. Impak dari kegiatan seni mereka masih kita rasai sehingga hari ini. Kita perlukan orang-orang yang mempromosi nilai-nilai mulia agar masyarakat mampu membezakan di antara kaca dengan permata.

Sumber: Nik Hasyudeen