
Datang Ke Sabah 40 Hari Untuk Berdakwah, Ebit Lew Diheret Pula Ke Mahkamah Atas Pertuduhan Gangguan Seksual
Pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali dengan Ebit Lew, 37, hari ini didakwa di Mahkamah Litar Tenom atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Azreen Yas Mohamad Ramli.
Ebit pula diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin dan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh perbicaraan, manakala Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, berkata Ebit berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
“Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Ebit yang tiba di Sabah sejak awal bulan ini untuk kerja-kerja amal dan berdakwah tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom pada jam 9 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire.
Kawalan ketat oleh polis turut diadakan di pekarangan mahkamah sepanjang prosiding dijalankan.

“Saya baru tahu beberapa hari lalu ketika membuat kerja amal di Sabah, agak terkejut juga. Saya bukannya datang ke Sabah untuk hal itu (didakwa di mahkamah).
“Saya yakin dan percaya, tuduhan itu dibuat oleh satu kumpulan yang merancang untuk mengenakan saya,” jelas Ebit kepada pemberita sejurus keluar dari mahkamah.
“Saya yakin tidak bersalah dan akan lalui ujian ini sebaiknya. Saya serahkan semua hal kepada peguam dan gembira lalui situasi ini di mahkamah,” tambah Ebit lagi.
BACA: Ustazah Noor Laila Beri Pesanan Kasih Sayang Buat Ustaz Ebit Lew
Sumber: AlHijrah Online, KOSMO! ONLINE, BH Online
Trending now



