WhatsApp

Data Pengguna WhatsApp Bocor – Hati-Hati Terima Mesej, Panggilan Dan Pautan Meragukan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Wartawan akhbar Harian Metro, Muhammad Saufi Hassan melaporkan, ketika ini terdapat dakwaan mengenai kebocoran data pengguna yang menggunakan aplikasi WhatsApp.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati khususnya ketika menerima mesej, panggilan telefon atau sebarang pautan yang meragukan dari nombor yang tidak dikenali.

“Nama, alamat e-mel dan beberapa maklumat lain adalah antara ancaman siber berpotensi yang mungkin dihadapi mangsa,” jelas Ketua Penyelidik Keselamatan, Firma Keselamatan Siber Kaspersky, Victor Chebyshev kepada akhbar tersebut.

Menurutnya lagi, pengguna perlu lebih peka dengan setiap penerimaan mesej atau pautan kerana dikhuatiri ianya mengandungi fail yang meragukan sekali gus memungkinkan data pengguna boleh dimanipulasi oleh pihak ketiga.

“Sebaik sahaja data ini diterima pihak tidak bertanggungjawab, mereka mungkin melancarkan pelbagai jenis serangan daripada panggilan spam kepada pancingan data.

“Bagi penjenayah siber, mempunyai nombor telefon bakal mangsa dapat meningkatkan peluang serangan yang berjaya kerana kebanyakan perkhidmatan dalam talian memerlukan memasukkan nombor telefon bersama-sama dengan data peribadi lain,” tambahnya lagi.

Beliau turut menegaskan adalah amat perlu bagi pengguna untuk menyembunyikan data daripada semua orang kecuali mereka yang berada dalam senarai kenalan.

Orang ramai juga disarankan menggunakan kaedah terbaik iaitu menghidupkan pengesahan dua faktor (2FA) agar penceroboh data tidak dapat menyalahgunakan nombor mereka.

WhatsApp

BACA: PRU15: Kena ‘Spam’ Suruh Mengundi, Data Peribadi Orang Ramai Tidak Dilindungi?

Sumber: myMetro