
‘Dari Kecil Ajar Perbezaan Status Sosial?’ – Netizen Pertikai Hasrat Kerajaan Wujudkan Tabika Elit
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berhasrat mewujudkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) elit untuk memberi lebih banyak pilihan kepada golongan pertengahan M40.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata cadangan berkenaan dalam proses perbincangan awal dan kementerian itu sedang merangka kertas kerja mengenainya untuk dibentang di Kabinet dalam masa terdekat.
Tabika elit dicadangkan hanya untuk murid yang ibu bapa mereka mempunyai kemampuan kewangan kerana yurannya lebih tinggi berbanding yuran Tabika Kemas biasa antara RM5 hingga RM25 sebulan.
Beliau berkata insiatif itu bagi mentransformasikan sebahagian tabika sedia ada ke peringkat lebih baik termasuk daripada aspek modul pengajaran dan pembelajaran, fasiliti serta taraf pendidikan tenaga pengajar, sekali gus memberi pilihan kepada ibu bapa yang berminat.
Sedia maklum, M40 adalah golongan yang tidak dapat berdaftar dengan KEMAS. Golongan ini perlu menghantar anak mereka ke taska swasta dan dikenakan yuran tinggi sehingga RM600 sebulan yang mana pembayaran itu setaraf dengan golongan T20.
“Kita tidak paksa ibu bapa menghantar anak ke Tabika elit kerana 10,900 Tabika biasa masih beroperasi, tetapi Tabika elit menyediakan kurikulum lebih baik berbanding biasa,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Abdul Rahman mendapat pelbagai reaksi netizen tentang keperluan mewujudkan perbezaan pendidikan mengikut status sosial.
“Penat-penat duk perjuangkan hak sama rata pendidikan untuk semua. Haaa bagus la tu, dari kecik lagi ajar budak-budak macam ini,” ciap @k_izzuddin.
“Kenapa tak nak sediakan kurikulum yang lebih baik untuk semua tabika instead habiskan duit buat tabika elit? Kata negara banyak hutang. Cuba berjimat sikit,” @_elqadri.
“Menyediakan kurikulum yang lebih baik adalah tugas pemerintah secara keseluruhannya. Pendidikan tidak seharusnya dijadikan sebagai tempat perlawanan kelas ekonomi. Amatlah dangkal jika menteri fikir sedemikian rupa,” tulis @DanialAzraei.
Tabika Kemas adalah tadika yang diberikan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40). Cadangan ini diwujudkan kerana banyak permintaan tinggi di Putrajaya dan dianggap tidak adil kepada golongan ini kerana mereka juga perlu menghantar anak ke taska kerana kekangan kerja.
Apa pandangan anda tentang isu ini?
Sumber: BH