
Dari Jual Produk Suplemen Sampai Ke ‘Forex Trading’, Berniaga Depan Kaabah Kini Dah Jadi Trend Baru
Kesempatan menjadi tetamu Allah di Mekah telah digunakan oleh segelintir pihak untuk menjalankan aktiviti promosi produk dan perniagaan mereka betul-betul di hadapan Kaabah.
Jika sebelum ini Kaabah banyak dicemari dengan aktiviti mereka yang hanya bertandang untuk OOTD, kini kawasan tersebut dijadikan pula sebagai medan untuk berniaga.
Kawasan paling suci dan dihormati oleh semua umat Islam tersebut dilaporkan seolah-olah telah menjadi satu lokasi photo shoot iklan oleh beberapa pihak tertentu yang kebanyakannya merupakan usahawan berbangsa Melayu.
Beberapa rakaman foto dan video kini telah tersebar seperti yang didedahkan oleh Furqan Abdullah melalui satu hantaran yang dibuat di laman Facebooknya.
Boleh ke sebenarnya berniaga depan Kaabah ni? Pihak berkuasa Arab Saudi memang tak ambil apa-apa tindakan ke? Apa pula hukumnya dari sudut Islam? Makruh atau haram?
Ikuti kupasan yang dibuat oleh Furqan Abdullah ini bagi mendapatkan sedikit penjelasan.
Berniaga Depan Kaabah
Seolah-olah sudah menjadi trend dalam kalangan segelintir usahawan dan peniaga Melayu-Muslim mempromosikan produk mereka di hadapan kaabah. Tidak pastilah apa motifnya, namun ia berkemungkinan dianggap sebagai salah satu ikhtiar untuk melariskan produk mereka.
Tidak ketinggalan, ada segelintir ustaz/ustazah selebriti (usleb) dan ada juga dalam kalangan mereka yang menjadi duta sesuatu produk mempromosikan produk di hadapan kaabah sama ada menerusi video ataupun bergambar dengan produk tersebut di hadapan Kaabah. Ada yang mempromosikan produk suplemen, minyak atar dan seumpamanya, malahan ada individu yang berperwatakan ustaz tergamak memfatwakan “kehalalan” forex trading di hadapan Kaabah yang suci lagi mulia.
Saya tak pasti sejauh mana mujarabnya tindakan segelintir mereka yang mempromosikan kegiatan perniagaan mereka di hadapan Kaabah, namun setakat pengetahuan saya sebarang urusan perniagaan yang dilakukan di dalam rumah Allah (secara umumnya masjid) jika tidak haram sekalipun, majoriti ulama menganggapnya makruh.
Hal ini kerana, antara maqsad (tujuan) kita berada di dalam rumah Allah adalah untuk berzikir, mengingati dan mengagungkan Allah. Perkara ini dapat kita fahami menerusi ayat:
فِی بُیُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرۡفَعَ وَیُذۡكَرَ فِیهَا ٱسۡمُهُۥ یُسَبِّحُ لَهُۥ فِیهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡـَٔاصَالِ﴿ ٣٦ ﴾
“Di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”
Ayat ini disusuli dengan pernyataan yang menegaskan perbezaan antara individu yang benar-benar memenuhi maksud keberadaan di rumah Allah dengan mereka yang dilalaikan dengan urusan lain:
رِجَالࣱ لَّا تُلۡهِیهِمۡ تِجَـٰرَةࣱ وَلَا بَیۡعٌ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِیتَاۤءِ ٱلزَّكَوٰةِ یَخَافُونَ یَوۡمࣰا تَتَقَلَّبُ فِیهِ ٱلۡقُلُوبُ وَٱلۡأَبۡصَـٰرُ﴿ ٣٧ ﴾
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”
Di samping itu, hadis-hadis Nabi SAW turut menegaskan dengan nada yang sama, umpamanya yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah:
إذا رأيتم من يبيع أو يبتاع في المسجد فقولوا لا أربح الله تجارتك
Jika sekiranya kamu melihat seseorang yang berjual beli di dalam masjid, maka katakan kepadanya: Semoga Allah tidak memberikan keuntungan kepada perniagaan kamu.
Justeru, meskipun sebahagian ulama menyatakan menerusi hadis ini, akad jual beli dianggap sah, akan tetapi disebabkan ia mengandungi amaran keras Nabi SAW maka ia dihukum makruh dan fasid. Oleh yang demikian, sebarang perbuatan yang mengandungi elemen jual beli ataupun medium yang menyampaikan kepada maksud jual beli termasuklah promosi, iklan dan seumpamanya yang dilakukan di dalam masjid turut mengambil hukum yang sama.
Perkara ini berbeza dengan pengumuman yang dilakukan oleh pihak masjid yang menyatakan ada jualan di perkarangan masjid ataupun di ruangan parkir (atau ruangan khas selain ruang solat utama), maka ia tidak termasuk dalam konteks larangan/amaran ini. Buku Fiqah Pengurusan Masjid turut memuatkan tatacara aktiviti perniagaan di masjid yang wajar dijadikan panduan oleh semua.
Nota: Boleh baca resensi ringkas saya berkenaan buku Fiqah Pengurusan Masjid menerusi pautan berikut:
https://www.facebook.com/100001041377127/posts/5400703586640967/?d=n
Furqan Abdullah
BACA: ‘Berjaya’ Pergi Mekah Tak Semestinya ‘Setel’ Semua Dosa
Sumber: Facebook Furqan Abdullah
Trending now



