
Dalam Hukum Faraid, Perempuan Dapat Bahagian Yang Sedikit. Adilkah?
Apabila berlaku kehilangan ahli keluarga, antara perkara berbangkit yang akan berlaku adalah mengenai pembahagian pusaka melalui hukum faraid.
Kadang-kadang, ada pihak yang mempersoalkan keadilan harta pusaka menurut hukum faraid. Ada yang menyatakan bahawa tidak adil untuk pihak perempuan mendapat bahagian yang sedikit berbanding dengan pihak lelaki.
Adakah perkara ini benar? Ini yang diulas oleh Puan Umi Yusof, perunding wasiat, hibah dan faraid. Mari kita ikuti perkongsian beliau.
Kenapa Perempuan Dapat Sedikit Bahagian Faraid?
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurniaan yang telah Allah berikan kepada sebahagian dari kamu melebihi sebahagian yang lain. Kerana bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang diusahakan, dan perempuan pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan”.
Sebelum kedatangan Islam, perempuan dinafikan hak dari mewarisi harta pusaka. Perempuan tidak dapat mewarisi harta dari suaminya atau bapanya yang telah meninggal dunia. Ini kerana mereka beranggapan perempuan merupakan kaum yang lemah dan tidak boleh memegang harta.
Namun, kedatangan Islam mengangkat darjat seorang perempuan melalui pembahagian harta mengikut faraid.
Perempuan juga berhak mendapat pusaka dari bapa atau suaminya yang meninggal dunia.
Faraid sebenarnya cukup sempurna jika diamalkan dengan cara yang betul. Malangnya pada zaman sekarang ramai yang datang mengambil hak faraid tetapi tidak memahami dengan jelas bahawa mereka juga perlu ambil dengan tanggungjawab. Mereka lupa faraid datang dengan tanggungjawab.
BACA: Prosedur Tuntutan Harta Pusaka Amat Leceh, Ramai Yang Putus Asa Di Tengah Jalan
Encik Zulkifli meninggal dunia akibat demam denggi. Waris faraid Encik Zulkifli adalah isteri, ibu, bapa, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang masih di bawah umur.
Nilai harta yang ditinggalkan selepas ditolak hutang berjumlah RM500,000.
Dari segi pembahagian faraid:
Isteri 9/72 = RM62,500.00
Ibu 12/72 = RM83,333.33
Bapa 12/72 = RM83,333.33
Anak Lelaki 26/72 = RM180,555.56
Anak Perempuan 13/72 = RM90,277.78
Kenapa isteri dapat bahagian paling kecil dalam hukum faraid?
Ini kerana bahagian isteri merupakan bahagian yang “bersih” hanya untuk dirinya sahaja.
Beliau tidak perlu untuk menggunakan bahagiannya untuk membesarkan anak-anaknya.
Tanggungjawab menjaga anak-anaknya dari segi nafkah jatuh kepada bapa mertuanya iaitu Datuk kepada anak-anaknya. Datuk ini yang perlu memastikan nafkah cucu-cucunya diberi dengan sempurna.
Jika Datuk tidak berkemampuan untuk menjalankan tanggungjawabnya, maka tugas tersebut akan diambil alih oleh bapa saudara iaitu adik beradik lelaki sebelah suami.
Kemudian apabila anak lelaki telah besar, maka tanggungjawab menjaga ibu dan saudara kandung perempuan jatuh dibahunya. Apabila saudara kandung perempuan menikah, tanggungjawab itu beralih kepada suaminya pula.
Hukum faraid selalu dikaitkan tidak adil bagi seorang perempuan.
BACA: Serah Semua Harta Arwah Anak Kepada Menantu, Kisah Pasangan Suami Isteri Ini Kembali Tular
Kenapa lelaki dapat lebih?
Seorang lelaki bertanggungjawab memberi mas kahwin, nafkah tempat tinggal, makanan, pakaian kepada isteri dan anak-anak, manakala perempuan tidak perlu memikul tanggungjawab yang sama.
Beban nafkah lelaki lebih banyak dan memerlukan kewangan yang lebih besar. Jadi tidak hairanlah jika lelaki mendapat hak pusaka yang lebih berbanding perempuan.
Hukum faraid sangat adil dan indah jika kita betul-betul mengikuti apa yang disarankan di dalam Islam.
Ingat, faraid datang dengan tanggungjawab. Bukan hanya hendakkan faraid tetapi tanggungjawab diabaikan.
Berdosa kita nanti. Bagaimana kita hendak berdepan dengan Allah di akhirat nanti?
Sebarang pertanyaan boleh hubungi:
https://tanyalahpuanumi.wasap.my
PUAN UMI YUSOF
Guru Agih Harta
www.puanumi.com
Trending now



