
Dakwaan Waktu Solat Subuh Tak Tepat, Lelaki Ini Kongsikan Pandangan Dari Sudut Ilmu Falak
Baru-baru ini tular di media sosial tentang perkongsian seorang lelaki yang mengaitkan banjir yang berlaku adalah kerana kekufuran manusia.
Menerusi satu perkongsian di Facebook akaun bernama Tanpa Nama, dia mendakwa waktu solat Malaysia tidak tepat sekaligus menundang tanda tanya netizen mengenai perkara itu.
Menurutnya, ramai tidak perasan ada yang solat Subuh sedangkan belum masauk waktu. Dakwanya, waktu solat subuh yang ditunjukkan pada kalendar dan aplikasi telefon itu awal 20 minit berbanding waktu solat Subuh yang sebenar.
Katanya lagi, dia turut meminta untuk lihat sendiri terbitnya fajar kozib (belum masuk waktu) dan fajar sodiq (masuk waktu). Tambahnya, mereka di markas dakwah akan menunaikan solat Subuh pada jam 6.30 pagi.
Hal ini telah diulas oleh seorang lagi pengguna Facebook bernama Ahmad Irfan Ikmal Hisham. Beliau yang merupakan seorang pelajar bidang falak telah berkongsi pandangannya. Mari kita ikuti penulisan beliau di bawah.
Dalam bahasa Arab, fajar bermaksud cahaya pertama yang kelihatan pada pandangan manusia setelah kegelapan malam.
Di Malaysia, solat fardu awal pagi lebih dikenali sebagai Solat Subuh. Di negara Arab, lebih dikenali sebagai Solat Fajar. Dalam Iqna’, kedua-dua nama ini benar. Subuh disebut dalam Hadith. Fajar disebut dalam al-Quran dan Hadith.
Dalam Matan Abi Shuja’, dinyatakan bahawa awal waktu Subuh itu apabila terbitnya fajar kedua.
Fajar kedua di sini bermaksud Fajar Sodiq. Fajar pertama pula dikenali sebagai fajar Kazib.
Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari menjelaskan:
(Bermula) awal waktu Subuh itu daripada terbit fajar ṣādiq iaitu garis yang putih yang melintang ia pada tepi langit mashriq iaitu daripada benderang cahaya matahari tatkala ia hampir kepada tepi langit dan keluar dengan fajar ṣādiq iaitu fajar kādhib iaitu garis yang puti lagi panjang berdiri ia pada bujur langit seumpama rabungnya yang terkeatas terlebih terang dan terlebih luas daripada yang terkebawah seperti kelakuan ekor harimau inilah pada permulaan terbitnya (adapun) pada ketika hampir ia kepada fajar ṣādiq maka yang terkebawah terlebih luas daripadsa yang teratas maka kelam pula dan terbit kemudian fajar ṣādiq.
Dalam Kitab Majmuk, diumpamakan fajar kazib itu seperti ekor serigala. Menegak secara membujur ke atas. Flashing. Kemudian hilang.
Sementara cahaya fajar sodiq pula, melintang.
Zaman nabi, masa belum dihitung. Orang Arab juga secara amnya tidak pandai mengira. Penentuan waktu solat adalah semata-mata rukyah derivatif hasil pergerakan matahari. Daripada mana datangnya kaedah hisab/hitungan untuk penentuan waktu solat?
Dalam Kitab Iqna’, dinaqalkan hadith turunnya dajjal 40 hari, yang diakhiri dengan kerisauan para sahabat mengenai waktu solat. Lalu nabi menyatakan mafhumnya, hitunglah waktu solat (kerana siang dan malam yang tidak sama dengan hari kebiasaan).
Ini menjadi hujjah keharusan menggunakan ilmu masa untuk penentuan waktu solat. Ilmu masa/pemasaan, turut dikenali sebagai ilmu mawaqit dalam ilmu falak.
Atas dasar ini, para ulamak telah membangunkan ilmu hisab astronomi Islam bagi penentuan waktu solat. Bahkan semasa zaman tamadun Islam awal, pemerintah melantik seorang al-muwaqqit/al-mu’aqqit (time keeper) bagi menjaga masa solat umat Islam, dengan gaji yang tinggi. Ilmu hisab ini adalah berdasarkan sunnatullah, kenampakan derivatif pergerakan matahari selari dengan panduan sunnah.
Prof Susiknan dan PM Dr Baharrudin Zainal membuat sorotan pandangan ulamak falak terhadap parameter waktu subuh, antara 15-20 darjah di bawah ufuk.
Alhamdulillah saya bersyukur, sebagai pelajar ilmu falak, saya mendengar dan melihat sendiri kajian bertahun-tahun di lapangan yang dilaksanakan oleh sarjana ilmu falak dan astronomi Malaysia. Antara kajian yang terkehadapan ialah pasukan penyelidik dari API UM diketuai Prof Dato’ Zambri, dan juga kajian oleh Dr Kassim Bahali. Kajian mereka dilaksanakan bukan di hadapan komputer sahaja. Bukan sekadar google image sahaja.
Tetapi mereka turun di lapangan, bangun awal pagi, mencerap kenampakan fajar sadiq berkenaan. Bertahun-tahun, di beberapa tapak cerapan.
Kajian mereka juga dibentangkan di hadapan ratusan cendedikawan falak Malaysia. Didebatkan, tanpa sembunyi dan prejudis. Bukan diuar-uarkan dalam media sosial sahaja. Selepas dibentangkan dalam Muzakarah Falak Kebangsaan, proses terakhirnya ialah dibentangkan kepada ulama’ di setiap negeri.
Maka dengan jitunya kajian waktu subuh ini, saya yakin waktu subuh rasmi yang dikeluarkan Jabatan Mufti setiap negeri adalah ijtihad yang betul.
Mari hayati pesanan nabi:
“ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا ”
Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu begitu sahaja daripada manusia, tetapi Allah akan mengangkat ilmu dengan kematian ulamak. Hingga tiada lagi orang alim (berilmu) yang hidup. Maka pada waktu itu manusia akan mengangkat pemimpin mereka dalam kalangan orang jahil. Apabila ditanya (urusan agama), mereka akan berfatwa tanpa ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan (HR Bukhari)
Jangan berfatwa tanpa ilmu. Jangan ditunggu saat matinya semua ulamak.
BACA: Penduduk Di Indonesia Terkejut Matahari Terbit Sebelah Utara