
Dakwa Plagiat Karya, Penerbit Filem Tamil Bakal Saman Produksi ‘Parasite’
Filem dari Korea Selatan, Parasite yang telah memenangi empat anugerah di Academy Awards (Oscar) baru-baru ini telah terpalit dengan satu kontroversi berkaitan dakwa plagiat karya oleh seorang penerbit filem Tamil.
BACA: Filem Parasite Karya ‘Plot Twist’ Teragung Bong Joon-Ho Selepas 10 Tahun Menyepi
Menurut media Times of India, penerbit filem Tamil, PL Thenappan mengumumkan akan menyaman penerbit filem Parasite kerana dikatakan telah ‘mencuri’ idea daripada filem beliau, Minsara Kanna.
Thenappan yang akan memfailkan kes dakwa plagiat karya dengan bantuan seorang peguam antarabangsa mendakwa Parasite telah mengambil plot daripada filemnya yang diterbitkan pada tahun 1999 dan dibarisi oleh pelakon Tamil popular, Vijay.

Manakala pengarah Minsara Kanna, S. Ravikumar memberikan respon berbeza dengan Thenappan kerana menganggap kontroversi berkenaan membawa perhatian umum untuk menonton filemnya dan tidak berniat untuk mengambil apa-apa tindakan.
Filem Minsara Kanna secara amnya mengisahkan mengenai Kaasi yang memasuki rumah seorang wanita kaya sebagai pemandu dan membawa ahli keluarganya seorang demi seorang untuk bekerja di rumah berkenaan dengan motif tersembunyi.
BACA: Selain ‘Parasite’, Ini 5 Filem Terbaik Arahan Bong Joon Ho Harus Tonton
Bong Joon-ho mencipta sejarah dengan merangkul anugerah filem berbahasa asing pertama memenangi Anugerah Filem Terbaik di Oscars, selain Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik serta Filem Luar Terbaik menerusi Parasite.
Mencatat sejarah kemenangan dalam kategori Palme d’Or di Cannes Film Festival, filem Parasite arahan Bong Joon-Ho mendapat perhatian ramai kerana mempunyai aura yang berbeza daripada filem-filem biasa.
Menampilkan genre black comedy thriller, filem yang dibuat dengan bajet USD11 juta ini merupakan filem pertama Korea yang menerima anugerah tertinggi di Cannes sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1955.
Boleh dikatakan agak mindblowing, menonton Parasite membuatkan anda adakalanya merasa keliru, sinis, terhibur, geram, sedih malah menyampah dengan perwatakan watak-watak.
Bong Joon-Ho juga terkenal dengan mesej tersirat dalam filem arahannya bukan sahaja menampilkan dinamik kehidupan kelas sosial, malah turut mengkritik perangai sesetengah individu yang suka bermewahan:
Sumber: Times Of India, Astro Awani