‘Dah Semak, Tiada Peperiksaan Semasa Video Tular Veveonah Atas Pokok’ – Timbalan Menteri KKMM

Atas Pokok Untuk Internet
Sumber: FB/ Youtube

Masih ingatkah lagi dengan video tular seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpaksa meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok demi mendapatkan talian Internet?

Bagaimanapun, dakwaan pelajar yang dikenali sebagai Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian dikatakan palsu.

Menurut sumber, hasil siasatan mendapati Veveonah yang juga seorang YouTuber tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam. Kenyataan ini disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya YouTuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu.

“Jadi, kita minta pihak berwajib di kawasan yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang membangkitkan isu video Veveonah yang tular ketika bertanya tentang tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet di antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah.

Tiada Peperiksaan Video Tular Pelajar Atas Pokok
Sumber: Sabah Post

Difahamkan, kerajaan juga kini sedang berusaha meningkatkan taraf capaian internet 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus namun masih ada beberapa kawasan titik buta termasuk di bandar.

Sejak video berkenaan mendapat perhatian orang ramai, Telekom Malaysia telah menaiktaraf kelajuan internet di pusat interntet yang berdekatan dengan kampung Veveonah, menggunakan sambungan gentian fiber 300Mbps bagi memenuhi permintaan komuniti di situ dan kawasan sekitarnya.

Malah, SKMM turut mengumumkan rancangan untuk membina menara telekomunikasi di kampung Veveonah untuk menambah baik liputan internet di kawasan sekitar.

Hasil video tular itu juga, Veveonah dijemput hadir ke Istana Negeri untuk menerima sumbangan Yayasan Nur Jauhar di Kota Kinabalu, Sabah.

Sumber: PN BBC Portal