Daging Korban Ditawar Jadi Ganti Bayaran Persembahan, Di Mana ‘Letaknya’ Genre Nasyid Di Mata Masyarakat?

Sumber: Media Viral

Semalam salah seorang ahli kumpulan nasyid terkenal tanah air, Mohd Asri mendedahkan beliau ada menerima tawaran untuk melakukan persembahan di sebuah majlis hari raya korban seorang individu. Namun yang menjadi persoalan di sini adalah permintaan penganjur mahu ‘membayar’ khidmat mereka dengan daging korban dan bukannya wang ringgit.

Ada penganjur program nak jemput untuk buat persembahan dan dalam perbualan juga beliau mohon dapatkan juga…

Posted by Mohd Asri on Sunday, July 19, 2020

Terdiam dengan permintaan tersebut, Mohd Asri ‘terfikir’ masih adakah stesyen minyak yang boleh menerima daging korban sebagai ganti kepada nilai mata wang RM dengan pertukaran mengisi minyak kenderaan.

Tidak berniat untuk merendahkan sesiapa termasuklah pihak penganjur berkenaan kerana pertukaran bayaran tersebut, Mohd Asri bercerita sekadar mahu berkongsi tentang nasib yang sering dialami golongan yang mahu menyampaikan agama; ustaz, daie, kumpulan nasyid dan sebagainya.

Alhamdulillah berkenaan status saya semalam semuanya dah selesai dengan baik dan penuh kasih sayang. Jauh dari sudut…

Posted by Mohd Asri on Monday, July 20, 2020

Sekadar mengingatkan bahawa setiap yang dijemput mempunyai tanggungjawab yang perlu dilunaskan, Mohd Asri bagaimanapun menjelaskan isu ini telah diselesaikan dengan baik dan penuh kasih sayang tetapi tidak menyebut sama ada tawaran persembahan tersebut diterima atau pun ditolak oleh beliau.

BACA: Lagu Sekarang Terlalu Kejar Pendengar Hingga Kurang Kreatif, Tiada Eksperimen – M. Nasir

Genre nasyid yang popular ketika zaman awal 1996 hingga tahun 2010, kini semakin tenggelam dengan genre-genre lagu yang lebih moden dan terkini.

Namun sejak dua tiga tahun belakangan ini, genre ini sudah mula ‘kembali’ membuat comeback dalam industri muzik tanah air, antaranya dengan penganjuran Gema Gegar Vaganza pada tahun 2017 oleh Astro yang menyaksikan kumpulan UNIC merangkul gelaran Juara diikuti dengan Hijjaz dan Mirwana.

Antara kumpulan nasyid yang berjaya membuktikan genre ini mampu berdiri megah di pentas antarabangsa adalah Raihan yang tetap ‘laku’ meskipun sudah bertahun-tahun tanpa single baharu.

Daging Korban Ditawar Jadi Ganti Bayaran Persembahan, Di Mana ‘Letaknya’ Genre Nasyid Di Mata Masyarakat
Sumber: NST

Ditambah pula dengan kemunculan remake single popular berjudul Sesungguhnya bersama penyanyi versatil, Alif Satar yang kini sudah mencapai 22 juta tontonan sejak dimuat naik pada Mei 2019.

Populariti Raihan di luar negara bukan calang-calang apabila nama mereka diabadikan pada sebuah bilik seminar di sebuah hotel bercirikan Islam pertama di bandar raya Bangkok.