Cubaan Burukkan Kredibiliti Hakim Kes Najib? Kononnya Cucu Saudara Dr Mahathir

Datuk Seri Najib menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama dijatuhi hukuman bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Netizen Bimbang Kluster Bossku

Susulan selepas keputusan itu, terdapat percubaan untuk memburukkan kredibiliti Hakim Mohd Nazlan.

Antara tuduhan yang dilancarkan di media sosial itu adalah dakwaan bahawa Nazlan, 51 tahun, adalah cucu saudara Dr Mahathir Mohamad.

Salah seorang yang membuat tuduhan tersebut ialah Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao, yang merupakan pendukung Najib. Ramesh membuat tuduhan itu dalam satu ciapan di Twitter.

Menurut sumber, anak sulung Mahathir, Marina mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak benar.

“Kami rasa bangga kerana mereka berpendapat hakim berpengalaman seperti itu mempunyai kaitan keluarga dengan kami, tapi ini tidak benar,” katanya.

Selain dakwaan itu, pihak lain yang cuba menjatuhkan kredibiliti Nazlan juga mendakwa bahawa beliau adalah salah seorang hakim yang membebaskan dan melepaskan wakil rakyat DAP P Gunasekaran atas dua tuduhan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Kes Najib Cucu Saudara Mahathir
Sumber: MalaysiaKini

Dalam penghakiman semalam, Nazlan menolak dakwaan bahawa Najib ditipu oleh ahli perniagaan Jho Low.

Nazlan juga menolak dakwaan bahawa wang dalam akaun bank Najib adalah derma, dengan mengatakan bahawa sebagai bekas perdana menteri, beliau tidak berusaha untuk mengesahkan surat dari keluarga diraja Arab Saudi, yang didakwa adalah penderma tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengatakan kerajaan menghormati keputusan mahkamah. Justeru beliau menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

Sumber: MalaysiaKini, Suara Merdeka