Rompak

Cuba Rompak Kedai Emas Guna Pisau, Wanita Berjubah Ini Masih Bebas Dan Gagal Dikesan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Utusan Malaysia melaporkan, pihak polis kini sedang giat mengesan seorang wanita yang merupakan suspek dalam cubaan merompak sebuah kedai emas beberapa hari yang lalu.

Menurut wartawan Hadi Ab. Manap, kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Ayer Keroh, Melaka.

Dalam kejadian tersebut, suspek wanita yang berpakaian jubah serta memakai pelitup muka dikatakan telah mengunjungi kedai emas berkenaan kira-kira pada pukul 4.45 petang dan berpura-pura ingin membeli barangan kemas.

Dia kemudiannya bertindak mengacukan sebilah pisau kepada seorang pekerja yang sedang melayaninya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek mengarahkan mangsa supaya memasukkan barang kemas ke dalam beg galasnya, namun tidak berjaya kerana rakan sekerja mangsa bertindak pantas menariknya sebaik sahaja menyedari insiden itu.

Di media sosial, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi lapan saat berhubung kejadian itu turut tersebar.

“Ketika melayani pelanggan seorang perempuan Melayu berpakaian jubah serta memakai pelitup muka untuk membeli emas, tiba-tiba suspek tersebut mengeluarkan sebilah pisau daripada beg galas lalu mengacukan pisau tersebut ke arah mangsa.

“Suspek menyuruh mangsa untuk memasukkan barang kemas ke dalam beg galas tersebut. Semasa kejadian, rakan sekerja mangsa melihat kejadian itu lalu menarik mangsa ke belakang kerana ketika itu mangsa dalam keadaan terkedu.

“Lalu suspek melarikan diri dan rakan sekerja mangsa meminta bantuan pekerja lelaki untuk mencari suspek tersebut, namun tidak menjumpainya. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada sebarang kerugian yang berlaku,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 393 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak menggunakan senjata. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika musim cuti persekolahan ini serta berusaha mengelakkan diri dari memberi sebarang peluang kepada penjenayah untuk melakukan perbuatan jenayah.

Suspek wanita Melayu berjubah tersebut kini dalam buruan pihak polis.

1 Rompak

BACA: Penganggur Di Kuching Terdesak Merompak Nak Beli Susu Dan Lampin Dipenjara Enam Tahun

Sumber: Utusan Malaysia