
Cuaca Sejuk Di Malaysia: Suhu 17–18 Celsius Pada 2014 Mungkin Boleh Berlaku Lagi?
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, fenomena cuaca sejuk di Malaysia dijangka berterusan hingga Februari tahun depan.
Kawasan tanah rata di pedalaman seperti di Kelantan, Pahang dan Perak pula akan menjadi lebih sejuk berbanding kawasan lain dan kemungkinan mencatat suhu terendah yang dialami negara.
“Sebelum ini, suhu di kawasan pedalaman Kuala Krai, Kelantan pernah dicatat antara 17 dan 18 Celsius pada 2014. Jadi, berkemungkinan di kawasan tersebut boleh berlaku lagi (suhu serendah itu),” jelasnya.
Fenomena ini terjadi susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melibatkan perubahan angin sejuk dari tanah besar China dan juga pembentukan awan hujan yang berterusan bermula awal November lalu.
“Jadi apabila awan hujan banyak, dari segi pancaran matahari agak terlindung yang menyebabkan suhu akan lebih rendah berbanding tempoh masa yang lain,” tambahnya lagi.
Pakar Meteorologi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah pula berkata, angin dari China yang memasuki Malaysia bermula awal November tersebut boleh menyebabkan suhu serendah 22 darjah Celsius.
Cuaca dingin yang dirasai oleh rakyat Malaysia kini merupakan kesan peralihan angin MTL yang datang dari arah utara yang juga dikenali sebagai luruan monsun.
Ianya juga memberi kesan kepada jumlah cahaya matahari yang diterima di Malaysia yang berkurangan selain menyebabkan cuaca mendung dan hujan.
Angin Timur Laut yang dibawa dari Siberia turut menjadi faktor cuaca sejuk yang dialami di Malaysia ketika ini.
“Perubahan angin monsun ini memang akan memberi kesan kepada suhu dan situasi ini akan turut dipengaruhi oleh geografi atau kedudukan sesebuah kawasan, sekiranya berada di tanah tinggi seperti Genting Highlands suhunya lagi sejuk,” ujarnya lagi.
BACA: Kejadian Hujan Lebat Dan Ribut Hingga Dinding Kaca Bangunan Pecah Tanda Cuaca Malaysia Makin Ekstrem
Sumber: Sinar Harian