
Cristiano Ronaldo Buka Klinik Rawatan Rambut Dengan Pelaburan RM4.62 Juta
Impian Cristiano Ronaldo untuk memiliki klinik rambut miliknya sendiri sudah tercapai apabila beliau membuka pusat rawatan tersebut bersama teman wanitanya, Georgina Rodriquez di Madrid.
Pusat yang ditubuhkan di bawah Kumpulan Insparya, hasil gabungan modal antara Ronaldo dan Paulo Ramos dikendalikan oleh 150 orang kakitangan profesional dengan Rodriguez sebagai salah seorang pengurusnya.
Klinik rambut Cristiano Ronaldo ini dijangka dibuka kepada orang ramai bermula 18 Mac dengan menawarkan pakej menarik untuk pelanggan termasuklah penginapan, penerbangan dan rawatan.
Dengan pelaburan sekitar €1 juta (RM4.62 juta) dan dijangka akan menambah kira-kira €25 juta dalam tempoh 3 atau 4 tahun akan datang.

Dengan bayaran bermula €4,000 (RM18,492), pusat rawatan ini akan menyediakan 18 rawatan transplan di 18 buah bilik sedia ada setiap hari.
“Sebagai pemain bola sepak, saya amat prihatin terhadap kesihatan, teknologi dan kajian, ia adalah antara bidang yang saya berminat untuk melabur.”
Terkini, pemain bintang Juventus dan Portugal ini memberi bayangan bakal bersara dari dunia bola sepak dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi. Persaraan itu menyaksikan penghijrahannya dari dunia bola sepak ke dunia perniagaan.
Sepanjang karier, beliau hampir memenangi kesemua augerah yang dipertandingkan hasil pengalaman ketika bersama kelab Sporting Lisbon, Manchester United, Real Madrid dan kini Juventus.
Beliau yang kini berusia 34 tahun bagaimanapun hanya akan tamat kontrak bersama Juventus pada musim panas 2022. Malah ketika ini, masih bersaing dengan pemain dunia Lionel Messi dari Barcelona untuk pengiktirafan sebagai pemain sepanjang zaman.
Sumber: Free Malaysia Today