MYEG Kit Ujian Pantas Covid-19

COVID-19: MYEG Perkenal Kit Ujian Pantas 30 Minit Pada Harga RM99

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak penularan wabak COVID-19 semakin meningkat di Malaysia, syarikat My EG Services Berhad (MYEG) memperkenalkan kit ujian pantas bagi mengesan virus itu di Malaysia dan Filipina.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan beberapa perkhidmatan ujian saringan COVID-19 yang boleh dilakukan di rumah tetapi untuk mereka yang tidak menepati kriteria pesakit dalam siasatan (PUI).

Bagaimanapun, perkhidmatan pengambilan sampel ujian COVID-19 di rumah ini tertakluk kepada caj antara RM600 dan RM700 yang dikenakan oleh hospital swasta yang bekerjasama dengan KKM.

Maka, MYEG mengambil inisiatif untuk menjual kit ujian pantas pada harga RM99 setiap satu dan dijual sepaket yang mengandungi 10 kit pada harga RM990, hampir 90% lebih murah daripada perkhidmatan yang ditawarkan hospital swasta.

Bezanya, kit berkenaan dijangka membantu memendekkan tempoh mendapat keputusan kepada 30 minit tanpa perlu menghantar sampel ke makmal. Malah, ia tidak memerlukan pengambil sampel pada tekak atau hidung.

MYEG Kit Ujian Pantas Covid-19

Menurut MYEG, kit berkenaan dibangunkan syarikat China dan sudah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan China serta digunakan secara meluas di sana.

Melalui kit itu, virus boleh dikesan melalui sampel darah yang boleh diambil di hujung jari. Sampel itu kemudiannya diletakkan pada jalur ujian untuk mengesan kehadiran antibodi IgM dan IgG yang biasanya dihasilkan antara tiga hingga tujuh hari selepas jangkitan.

Jadi, kit ini hanya bersesuaian untuk saringan kes disyaki dan kumpulan berisiko tinggi, terutama dalam kalangan pelancong atau mereka yang baru pulang dari negara berisiko.

MYEG Kit Ujian Pantas Covid-19

Sementara MYEG menunggu lampu hijau Kerajaan Malaysia untuk menjual kit ujian pantas pada harga yang tertera di atas, tempahan sudah pun bermula sekarang namun tarikh pengedaran belum diketahui lagi.

Semalam (16 Mac), sebanyak 125 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 yang menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 553. Sejumlah 95 daripada 125 kes baharu dikaitkan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Susulan itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara.

Sumber: HM