Malaysia Lancar Aplikasi Kesan Individu COVID-19

COVID-19: Malaysia Sedia Lancarkan Aplikasi Kesan Pergerakan Individu

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bagi membantu mengekang penularan wabak COVID-19 di serata Malaysia, kerajaan dilaporkan sedang menyediakan aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan pergerakan individu.

Ia diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang mengatakan aplikasi sama dilancarkan Singapura yang dirujuk sebagai antara negara yang berjaya membuat pengesanan wabak itu menerusi pengesanan kontak.

Katanya, aplikasi tersebut yang dijangka bakal dilancarkan tidak lama lagi dalam tahun ini boleh mengesan pergerakan rakyat Malaysia untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Ia adalah ilham daripada negara Singapura yang telah melancarkan satu aplikasi telefon pintar iaitu Trace Together beberapa hari lalu.

“Beberapa hari lalu, Singapura melancarkan aplikasi telefon pintar bernama TraceTogether yang boleh mengesan pergerakan rakyat mereka supaya apabila berlaku kes positif, mereka boleh melihat sejarah pergerakan.

“Mereka juga boleh memberi amaran kepada orang lain berhampiran dengan pesakit untuk membuat ujian (saringan),” katanya ketika menjadi moderator forum dalam talian di Facebook rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Aplikasi Trace Together yang dilancarkan pada 20 Mac lalu didakwa boleh mengesan individu yang berada dalam jarak dua meter daripada pesakit COVID-19 sekurang-kurangnya selama 30 minit, menggunakan teknologi isyarat Bluetooth.

Malaysia Lancar Aplikasi Kesan Individu COVID-19

Pembangun aplikasi itu berkata, ia berguna apabila mereka yang dijangkiti tidak ingat siapa yang mereka berhubung rapat untuk tempoh tertentu.

Kata Prof Dr Mahendhiran Sanggaran Nair (data sains dan statistik), pelaksanaan aplikasi seperti itu perlu selaras dengan peraturan yang berkesan, selain mendidik orang ramai mengenai pentingnya penggunaan teknologi dan data dalam industri kesihatan.

Sebenarnya, bukan Singapura sebagai negara ASEAN sahaja yang sudah melancarkan aplikasi mengesan individu sebegini. Thailand turut melancarkan satu aplikasi secara dalam talian bagi mengesan penduduk tempatan dan pelancong dari enam negara dan wilayah berisiko tinggi iaitu China, Korea Selatan, Iran, Itali, Hong Kong dan Macau yang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Aplikasi itu adalah bagi memastikan rakyat Thailand serta pelancong yang dibenarkan keluar dari Zon Penyakit Berjangkit COVID-19 berada di dalam rumah selama 14 hari semasa tempoh inkubasi.

Setakat ini, aplikasi Trace Together itu telah dimuat turun oleh lebih daripada 620,000 pengguna. Aplikasi tersebut boleh dimuat turun oleh pengguna peranti pintar iOS atau Android.

Sumber: BH