COVID-19 Malaysia Kini Sudah Mencecah 790 Kes, Dengan Jumlah Tertinggi Di Selangor

Sumber: NST

Baru sahaja diumumkan, kini jumlah kes COVID-19 di Malaysia sudah mencecah 790 yang mana 80 daripada 117 kes baharu dicatatkan hari ini berkait dengan kes kluster perhimpunan di Sri Petaling.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada jumah 790 kes itu, 60 daripadanya sudah disahkan sembuh dan dibenarkan pulang manakala 15 lagi sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah berkenaan, Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan kes paling tinggi iaitu 192 kes diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 119 kes dan Sabah sebanyak 103 kes.

COVID-19 Malaysia Sudah Mencecah 790 Kes
Sumber: KKM Putrajaya

Sehubungan dengan peningkatan jumlah COVID-19 di Malaysia ini, rakyat Malaysia disarankan untuk kekal di rumah masing-masing dan tidak pulang ke kampung terutamanya buat mereka dari kawasan yang mencatatkan kes tertinggi.

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan: Rakyat Malaysia Sedang Lakukan Yang Sama Seperti Penduduk Wuhan

Sekiranya anda masih berdegil, maka bersiap sedialah dengan keadaan penularan yang semakin membesar gelombangnya.

Tahukah anda, jika anda ingkar atau terlihat sesorang yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri ini anda adalah seorang penjenayah yang boleh dikenakan denda dan dipenjara sehingga dua tahun di bawah  Seksyen 11(4) bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Enam arahan atau perintah tersebut berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang sering kali disalah anggap sebagai lockdown oleh rakyat Malaysia termasuklah:

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self-quarantine) selama 14 hari.

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.