COVID-19: Kurang Kes Walaupun Berhampiran China, Ini Yang Perlu Kita Belajar Dari Taiwan

Sumber: The New York Times

Setakat pagi ini, 179 buah negara dunia termasuk satu kapal persiaran Jepun (Diamond Princess) sudah mencatatkan lebih 245,512 kes positif COVID-19 dengan angka kematian sebanyak 10,048 mangsa.

China masih kekal di tangga pertama dengan catatan kes sebanyak 80,967 dan angka kematian seramai 3,248 diikuti rapat oleh Itali dengan angka 41,035 dan korban seramai 3,405 orang.

Dalam pada kekalutan dunia melihat peningkatan jangkitan setiap hari, Taiwan yang berjarak tidak kurang 2,103km dari China masih lagi mencatatkan kes positif kurang daripada 200 iaitu 108 sahaja.

Jika difikirkan secara logik, bagaimana ini boleh berlaku sedangkan Taiwan saban tahun menerima jumlah pelancong China yang besar?

Pertama sekali, lihat pada tindakan pantas yang diambil oleh Taiwan.

Taiwan bertindak lebih pantas daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berfungsi sebagai badan yang aktif melaksanakan tugas-tugas untuk mencapai kesihatan secara maksimum untuk seluruh penduduk dunia.

BACA: Penularan Wabak Koronavirus: Kedudukan Kesihatan Rakyat Malaysia Semakin Terancam

Apabila China mengumumkan bahawa terdapatnya kes dalam kalangan rakyat mereka yang mempunyai simptom yang sama seperti wabak SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) telah menyebabkan kematian kepada 349 orang di China dan 299 orang di Hong Kong yang berlaku sekitar tahun 2002 hingga 2003, Taiwan bertindak cepat dengan melakukan tapisan di pintu masuk negara mereka.

Belajar daripada kesilapan lalu, Taiwan bersedia dengan menyediakan monitor skrin kesihatan di lapangan terbang mereka.

COVID-19 Cara taiwan Tangani
Sumber: NBC

Daripada itu, Taiwan menghalang individu yang mempunyai tanda-tanda seperti yang dinyatakan China dan menghantar mereka untuk menjalani ujian kesihatan di hospital selain daripada mula mengenal pasti dan mencari identiti yang sudah berkontak rapat dengannya.

Taiwan mengajar negara dunia agar sentiasa peka dan proaktif dengan keadaan semasa global. Pada 31 Disember (hari yang sama China memaklumkan WHO mengenai kes simptom yang dihadapi), Taiwan mengerahkan pemeriksaan segera dilakukan pada penumpang yang tiba dari penerbangan Wuhan.

BACA: Perintah Kawalan Pergerakan: Rakyat Malaysia Sedang Lakukan Yang Sama Seperti Penduduk Wuhan

Pada 21 Januari, Taiwan mengenal pasti kes pertama mereka dan seluruh dunia mengambil langkah berjaga-jaga; kebanyakannya menutup pintu negara daripada dimasuki pelancong dari China.

Bukan itu sahaja, kes yang berkontak rapat dengan individu positif COVID-19 juga diminta untuk berada dalam keadaan kuarantin supaya tidak menjangkiti orang lain.

Taiwan juga mempersiapkan rakyat mereka dengan ilmu pengetahuan yang mana apabila sesuatu data itu didedahkan, ketakutan dalam menghadapinya dapat dikurangkan.

COVID-19 Cara taiwan Tangani 1
Sumber: NBC

Bekalan yang penting dalam mencegah jangkitan penyakit seperti hand sanitizer dan topeng muka juga disediakan lebih awal dan dijual dengan harga yang murah agar semua penduduk dapat memilikinya.

Semasa China melaporkan kes simptom ini apa yang Malaysia lakukan? Moga kita dapat belajar dari Taiwan dan belajar daripada kesilapan hari ini untuk ‘simpanan’ masa hadapan.

Setakat hari ini Malaysia sudah pun mengesahkan 900 kes positif dengan dua kematian dan 75 sembuh. Manakala yang berada dalam Unit Rawatan Rapi adalah seramai 15 orang.

Sehubungan dengan peningkatan kes secara mendadak ini, Perdana Menteri Malaysia telah mengambil langkah drastik menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini.

BACA: Khidmat Tentera Mungkin Akan Digunakan Jika Orang Ramai Masih Ingkar – Menteri Pertahanan

Moga rakyat Malaysia dapat mematuhi perintah yang dikeluarkan agar rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan. Jika ingkar maka anda adalah penjenayah yang boleh didenda dan dipenjarakan.

Sumber: NBC, Wired